Tepat pilih Mohd Shukri sebagai MB Perlis

Ustaz Yahya Ahmad
- Advertisement -

ARAU: Pemilihan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang, Mohd Shukri Ramli sebagai Menteri Besar Perlis yang baharu amat tepat.

- Advertisement -

Ahli Assabiqun Perlis, Ustaz Yahya Ahmad, 79, berkata kemenangan bergaya PAS melalui PERIKATAN NASIONAL (PN) merupakan hadiah serta ujian Allah SWT khususnya kepada kepimpinan PAS negeri.

“Pemilihan beliau sebagai Menteri Besar sangat tepat, dia bermula dari bawah dan kemudian naik peringkat demi peringkat sehingga menjadi Pesuruhjaya PAS Perlis.

“Beliau pernah memegang jawatan Yang Dipertua PAS Kawasan Arau, Ketua Pemuda kemudian sekarang ini rezekinya dapat memegang jawatan utama dalam pentadbiran kerajaan negeri,” katanya ketika ditemui di Kompleks PAS Perlis di sini, hari ini.

Yahya juga tidak menyangka PN akan menang besar pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Sabtu lalu.

“Kita memang tidak sangka akan menang sampai 14 kerusi, saya pernah bekerja di bawah pentadbiran beliau sebagai penolong setiausaha ketika itu selama tiga penggal.

“Beliau memang orang baik dan berhikmah ketika menjalankan tugas, jadi apabila sudah menjadi kerajaan ini, kita kena buktikan apa yang kita katakan sebelum ini,” ujarnya.

Yahya sebagai orang lama PAS Perlis turut menasihati agar kemenangan yang dikecapi itu dapat diisi sebaik mungkin.

“Mahu pertahankan kemenangan bukan satu perkara yang mudah, nak jadi pembangkang senang saja, apa sahaja yang kita beritahu kepada rakyat sebelum ini hendaklah ditunaikan.

“Lima tahun bukannya lama, nanti akan diadakan pilihan raya pula, jadi kemenangan ini perlu dipertahankan,” katanya.

Sementara itu, katanya PAS Perlis perlu mencontohi cara negeri jiran terdekat, iaitu Kedah mentadbir negeri serta pengalaman di Kelantan dan Terengganu.

“Kita perlu belajar dari Kedah, Kelantan dan Terengganu, bagaimana mereka melaksanakan amanah yang diberikan rakyat. Bagaimana Kelantan berjaya dipertahankan sehingga kini, jadi kita perlu ambil panduan supaya dapat belajar dengan mereka,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/11/2022

- Advertisement -