Umno Johor sokong keputusan ‘No Anwar, No DAP’

Datuk Seri Hasni Mohammad
- Advertisement -

JOHOR BAHRU: Umno Johor hari ini berpendirian bahawa gabungan politik untuk membentuk kerajaan Persekutuan tidak perlu melibatkan parti DAP.

- Advertisement -

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor Datuk Seri Hasni Mohammad dalam kenyataan hari ini berkata ini kerana pihaknya menyokong keputusan yang dibuat pada Perhimpunan Agung Umno sebelum ini iaitu ‘No Anwar, No DAP’.

Ahli Dewan Undangan Negeri Benut itu berkata pihaknya menerima dan menghormati keputusan rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Sabtu lepas.

Tambah beliau, keputusan PRU15 cukup jelas dan merupakan penzahiran kepada kematangan rakyat dalam mendakap budaya demokrasi di Malaysia.

“Buat masa sekarang, keutamaan parti-parti politik di Malaysia adalah untuk membentuk sebuah gabungan (coalition) politik yang stabil dan kerajaan yang berfungsi serta sederhana untuk memimpin Malaysia mendepani cabaran-cabaran sosial dan ekonomi masa hadapan.

“Oleh yang demikian, Umno Johor berpendirian bahawa gabungan politik yang dibentuk tidak perlu melibatkan parti DAP,” kata Hasni yang menang kerusi Parlimen Simpang Renggam pada PRU15.

Hasni, yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor turut percaya Presiden parti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan mengambil tanggungjawab yang jelas dan berprinsip demi kelangsungan parti dan orang Melayu amnya susulan keputusan PRU15.

“Justeru, pemilihan Umno yang bakal diadakan tidak lama lagi perlulah berlangsung berdasarkan kerangka pemulihan Umno.

“Keyakinan pengundi kepada parti ini perlu segera dipulihkan agar Umno kembali diyakini semua rakyat Malaysia,” kata bekas Menteri Besar Johor itu.

Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya BN Johor turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada jentera-jentera Umno dan BN yang konsisten dan komited bekerja untuk memenangkan calon-calon BN Johor sepanjang kempen PRU15.

Pada PRU15, BN memperoleh 30 kerusi Parlimen dengan sembilan daripadanya disumbangkan oleh Johor.

Sementara itu, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam laman Facebook menyatakan pendiriannya susulan pertemuan beberapa ahli Parlimen BN dan pemimpin Pakatan Harapan di sebuah hotel di Kuala Lumpur, pagi ini.

“Saya dimaklumkan malam ini ada mesyuarat Majlis Tertinggi.

“Saya nak tanya orang Umno Johor, sanggupkah kita bersekongkol dengan PH-DAP?” katanya ringkas. – BERNAMA

- Advertisement -