Ka Siong terkilan pemimpin PH hadir perjumpaan

Datuk Seri Dr Wee Ka Siong
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Wee Ka Siong melahirkan rasa terkilan apabila pemimpin Pakatan Harapan (PH) turut hadir dalam perjumpaan dengan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Hotel Seri Pacific, di sini, hari ini.

- Advertisement -

Menurut Presiden MCA itu, beliau menghadiri perjumpaan Pengerusi BN dengan semua Ahli Parlimen BN pada jam 10 pagi tadi di hotel berkenaan.

“Saya menerima notis melalui aplikasi WhatsApp daripada Setiausaha Kerja BN pada jam 11.23 malam semalam mengenai perjumpaan hari ini hanya melibatkan Ahli-Ahli Parlimen BN,” ujarnya menerusi Facebook beliau, hari ini.

Katanya, satu sidang media telah diadakan selepas perjumpaan yang hanya melibatkan Ahli Parlimen BN dan puluhan wartawan telah membuat liputan.

“Saya terkilan apabila sebaik saja tiba di Seri Pacific Hotel, pemimpin-pemimpin PH turut hadir dalam perjumpaan ini.

“Saya tidak tahu sama ada ianya telah pun diatur terlebih awal atau pun satu kebetulan,” ujarnya.

Tambahnya, perlu ditegaskan tiada sebarang perjumpaan di antara Ahli Parlimen BN dan wakil PH berlangsung ketika beliau berada di Seri Pacific Hotel dari 10 pagi hingga 12 tengah hari.

Apa yang pasti, ujarnya beliau hanya menghadiri perjumpaan bersama Pengerusi BN dengan semua Ahli Parlimen BN sahaja.

“Selepas perjumpaan dan sidang media bersurai, saya tidak terlibat dalam mana-mana perbincangan, pertemuan sama ada kebetulan atau tidak dengan pemimpin-pemimpin PH,” ujarnya.

Menurutnya, apa jua keputusan yang dibuat oleh BN perlu mendapat persetujuan dan mandat daripada Dewan Tertinggi BN.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 Sabtu lalu, beliau berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Ayer Hitam. – HARAKAHDAILY 21/11/2022

- Advertisement -