KOTA BHARU: Bekas Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa mendakwa pertemuan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di PWTC, Kuala Lumpur pagi tadi gagal menghasilkan keputusan seperti dimahukan beberapa kerat pemimpin pro-DAP/PH.
Katanya sehingga jam 2 petang seperti yang dimaklumkan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azizan Harun mungkin tidak mencukupi untuk pasukan Presiden Umno kerana masih gagal capai kata sepakat.
Sedangkan kata beliau belum ada sebarang keputusan parti, di mana hasil rundingan perlu dibawa dan diluluskan Dewan Tertinggi BN untuk dipersetujui atau ditolak.
Beliau mendakwa Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi Strategik Presiden Umno beberapa hari sebelum mengundi mengisytiharkan BN menang 114 kerusi.
“Sebentar tadi dia mula melancarkan perang psikologi untuk mengabui ahli dengan mereka-reka 10 justifikasi kenapa BN wajib bersama PH.
“Tidak mustahil PERIKATAN NASIONAL (PN) yang terlebih dahulu berjaya cross the line. Kita kini berpeluang perhatikan belang masing-masing dan menunjukkan warna sebenar untuk kita nilaikan,” katanya pada catatan di laman sosialnya hari ini. – HARAKAHDAILY 21/11/2022