Pasca PRU15: Malaysia Sejahtera kita nikmati bersama

- Advertisement -

PRU15 kini melabuhkan tirai dan kita sedang menanti penubuhan kerajaan yang memerintah penggal berikutnya dengan PAS yang menjadi komponen parti PERIKATAN NASIONAL memenangi 49 kerusi Parlimen seluruh negara. Ia menjadikan sejarah baharu perjuangan PAS.

- Advertisement -

Insya-Allah kita akan bersama kerajaan yang Prihatin, Bersih dan Stabil di peringkat Persekutuan dan negeri-negeri khususnya Perak dan Pahang yang memerlukan gabungan kukuh dengan memenuhi prinsip perjuangan untuk kesejahteraan rakyat keseluruhannya.

Gagasan idea YB Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dalam usaha menjayakan agenda dakwah dan siasah sememangnya terkehadapan dan sangat jauh pandangannya. Ternyata beliau yang mesra dipanggil Ayoh Chik itu layak dinobat Bapa Penyatuan Ummah kerana benar-benar memberi impak besar kepada rakyat dan negara.

Wajah cerianya sepanjang tempoh berkempen PRU15 yang berjalan lancar di seluruh negara membuatkan kita rasa sangat selesa walaupun keputusan yang diperolehi dianggap luar biasa dengan gelombang sokongan pelbagai pihak kepada gabungan PERIKATAN NASIONAL.

Asasnya meletakkan Islam di tempat yang betul, matlamat jelas akan memandu kita ke jalan menuju keredhaan Allah S.W.T. Pesanan dan seruan agar bersabar menanti saat kemenangan sering kali diperingat pimpinan menjadikan hari ini detik manis buat para amilin keseluruhannya.

Sudah tentu kemenangan ini melibatkan peranan semua pihak di pelbagai peringkat walaupun tidak disebut satu persatu, namun tidak sedikit pun mengurangkan rasa hormat dan terima kasih kepada semua. Ternyata wala’ dan tsiqah kepada keputusan jemaah serta pimpinan membuahkan hasil yang sangat bermakna buat kita semua.

Saat ini juga teringat kepada sosok tubuh pemikir PAS, Almarhum Prof Dr Mohamad Khazani Abdullah dalam merangka ‘roadmap‘ PAS untuk berada ‘on track‘ dan menjadi ‘king maker‘ dalam PRU14 hingga berada dalam kerajaan, kini PRU15 menguasai kerajaan dan Insya-Allah PRU16 akan memimpin kerajaan.

Marilah sama-sama kita untuk terus melangkah dan istiqamah bekerja mengisi kemenangan dengan memenuhi tanggungjawab kita kepada agama, ummah dan negara. Medan dakwah dan siasah kita makin meluas dan memerlukan lebih ramai tenaga untuk menjayakannya.

Inilah medannya untuk kita memenuhi fitrah kehidupan manusia yang menyukai perkara-perkara kebaikan bermula daripada sekecil-kecil perkara di rumah sehinggalah sebesar-besar perkara membangun serta melaksanakan dasar dan polisi kementerian dan kerajaan secara komprehensif.

Sekarang sudah sampai masanya untuk kita bersama menggembleng daya khususnya para asatizah dan profesional yang ramai dalam PAS menjadi tenaga penting barisan hadapan berkhidmat dengan ketetapan jemaah. Bukannya meminta jawatan tetapi menawarkan kepakaran untuk merealisasikan Islam sebagai cara hidup secara keseluruhannya, Insya-Allah.

ZULFAHMI RAMLI – HARAKAHDAILY 20/11/2022

- Advertisement -