Beri kerakyatan anak angkat BN, PH perlu dikaji semula

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) menegaskan bahawa tawaran memberi kerakyatan kepada anak angkat secara automatik perlu dikaji dengan teliti dan cermat berdasarkan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

- Advertisement -

Pengerusi UMMAH, Mohd Zai Mustafa berkata, ia seharusnya  dilihat daripada sudut undang-undang syariah terhadap hukum dan hak anak angkat serta berkait Fikh Al Daulah (kenegaraan), yang mana Malaysia adalah tanah Melayu yang majoritinya terdiri daripada orang-orang Melayu dan agama Islam adalah agama rasmi. 

Beliau menegaskan bahawa cadangan tawaran anak angkat secara automatik oleh Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) tidak sesuai dilaksanakan secara tergesa-gesa pada masa ini, malah perlu diteliti dengan cermat dan berhati-hati.

Menurut Mohd Zai, anak angkat tidak mempunyai hubungan secara langsung (sah secara perundangan) dengan keluarga angkat, malah boleh dieksploitasi bagi kepentingan tertentu seperti tujuan pemilikan harta, ekonomi, kuasa politik dan sebagainya.

“Status kewarganegaraan adalah hak ekslusif yang mempunyai kepentingan mutlak kepada negara dan mempunyai hak istimewa mengundi bagi menentukan kuasa politik dan hala tuju sesebuah negara.

“Hal ini akan memberi kesan dan akibatnya kepada masa depan bagi kedaulatan agama, bangsa dan negara pada masa akan datang,” jelasnya ketika ditemui padasidang media Persetujuan Menyokong Kerajaan yang Bersih dan Berintegriti di bawah Pimpinan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Hotel Ideas, di sini, hari ini. 

Tambah beliau, kerangka asas negara ini mestilah diterima dan difahami secara jelas serta ketaatan yang penuh oleh semua rakyat di Malaysia. 

“Di Malaysia, Islam merupakan agama rasmi persekutuan, Raja-Raja Melayu berpelembagaan, hak keistimewaan orang Melayu terjaga, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, masyarakat majmuk dan perpaduan nasional mestilah diterima oleh setiap warganegara. 

“Justeru, semua rakyat Malaysia tidak menggadaikan kedaulatan ini demi untuk mendapatkan kuasa,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/11/2022

- Advertisement -