Gabungan UMMAH, 200 NGO Islam sokong PERIKATAN NASIONAL

Zai Mustafa (duduk, tiga dari kanan) disertai 200 NGO Islam pada sidang media Persetujuan Menyokong Kerajaan yang Bersih dan Berintegriti di bawah Pimpinan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Hotel Ideas, Kuala Lumpur pada 18 Nov 2022.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO)  Islam, Gerakan Pembela Ummah  (UMMAH) dan 200 NGO Islam yang lain tampil bergabung pada hari ini (18 Nov) menyatakan sokongan padu terhadap PERIKATAN NASIONAL (PN).

- Advertisement -

Pengerusi UMMAH, Zai Mustafa, berkata, Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15) yang bakal berlangsung esok (19 Nov) disifatkan sebagai pilihan raya yang paling penting, getir dan sengit bagi mengekalkan kedaulatan negara ini yang bertunjangkan kepada kuasa politik Melayu-Islam dan Raja Melayu Berpelembagaan.

“Kegagalan mengekalkan kuasa politik Melayu-Islam merupakan ancaman yang paling besar yang akan mengganggu gugat kedaulatan agama, bangsa dan negara,” tegasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Persetujuan Menyokong Kerajaan yang Bersih dan Berintegriti di bawah Pimpinan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Hotel Ideas, di sini, hari ini. 

Menurutnya, UMMAH dan NGO-NGO Islam di negara ini amat gusar melihat sokongan politik orang Melayu yang berpecah-belah pada PRU15 kali ini. 

“Kesan kepada perpecahan ini, boleh menyebabkan parti DAP akan menguasai kerajaan Malaysia melalui gabungan parti Pakatan Harapan (PH),” ujar beliau.

Sehubungan itu, katanya lagi, UMMAH dan gabungan 200 NGO Islam menyeru dan merayu agar semua umat Islam wajib (Fikh Al Daulah) keluar mengundi dan menyatukan undi mereka hanya kepada satu gabungan parti yang jelas iaitu yang mempertahankan kedaulatan agama, bangsa dan negara, serta bersih daripada rasuah, berwibawa dan berusaha memperkasakan penyatuan ummah.

Mohd Zai menegaskan bahawa berdasarkan kepada penelitian dan penilaian calon dan parti yang akan bertanding pada PRU 15 pada kali ini, UMMAH dan Gabungan NGO Islam berpendirian bahawa calon dan parti yang menepati kriteria yang dinyatakan di atas adalah calon dan parti yang terdiri daripada gabungan Perikatan Nasional (PN).

“Kami juga berpendirian berdasarkan kepada perbandingan dua calon Perdana Menteri iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

“Tan Sri Muhyiddin Yassin lebih memenuhi kriteria menjaga agama, bangsa dan negara serta menghormati bangsa dan agama yang lain (tidak memudaratkan kaum dan agama yang lain serta mengukuhkan perpaduan kaum dan nasional).

Berdasarkan prestasi yang lepas, ujar beliau, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah berjaya mengurus tadbir negara dengan baik dan berjaya mengemudi negara yang telah berdepan dengan masalah besar iaitu Covid-19 serta kesuraman ekonomi negara.

“Dengan itu, UMMAH serta  200 gabungan NGO Islam dan para agamawan amat menyokong penuh Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon yang lebih layak dan berwibawa menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-10 kelak,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/11/2022

- Advertisement -