Undilah PM terbaik untuk Malaysia

- Advertisement -

PENDAHULUAN 

- Advertisement -

Kita ada 4 calon Perdana Menteri (PM) dalam pilihan raya ini. Tun Mahathir, tidak termasuk pada kali ini.

Jika BN menang, mereka ada dua calon berpotensi sebagai PM. Jika PH menang, mereka hanya ada satu calon, dan jika PN menang mereka pun ada satu calon.

Pertama: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

Beliau menjadi Perdana Menteri ke-9 kerana beliaulah satu-satunya calon kompromi yang dicadangkan oleh BN sebagai Perdana Menteri dan mampu dipersetujui oleh PAS, BERSATU dan GPS. 

Ismail Sabri sentiasa menerima tekanan oleh Presiden Umno sepanjang menjadi Perdana Menteri. Beliau cuba bertahan dengan tidak mengendahkan banyak permintaan Presiden Umno itu. Tetapi tekanan sentiasa berterusan dan semakin mengganggu, sehinggalah akhirnya beliau terpaksa mencadangkan Parlimen dibubarkan pada musim banjir atas desakan itu.

Oleh kerana itu kepada ramai penganalisis politik berpandangan beliau hanyalah calon Perdana Menteri ‘di atas kertas’ daripada BN.

Kedua: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

Beliau adalah Presiden Umno. Walaupun masih terlibat dalam banyak perbicaraan kes jenayah di mahkamah, beliau masih tetap mahu menjadi pengemudi utama BN.

Dalam satu ucapannya, beliau menyebutkan beberapa nama tokoh yang akan turut sama didakwa di mahkamah, jika BN tidak menang dalam pilihan raya ke-15 ini. Jika BN tidak menang, tokoh-tokoh yang beliau sebutkan nama mereka itu pun akan jadi seperti Zahid, akan didakwa atas ‘salah laku’ yang hanya diketahui sesama mereka. 

Zahid telah ‘mencantas’ ramai tokoh-tokoh Umno yang kritikal terhadap kepimpinannya daripada menjadi calon BN. Beliau betul-betul telah menunjukkan ‘kuasa’nya sebagai Presiden Umno terutamanya pada saat akhir.

Harapan kita untuk melihat Umno yang berubah sebagai parti yang lebih baik setelah era kehilangan kuasa mereka, nampaknya tidak akan berlaku juga.

Zahid adalah calon ‘sebenar’ Perdana Menteri, jika BN menang.

Ketiga: Datuk Seri Anwar Ibrahim 

Beliau adalah mantan Timbalan Perdana Menteri era Tun Mahathir. Ketokohan beliau memuncak semasa era ‘reformasi’ menentang kezaliman, ‘pertuduhan jijik’ dan kebejatan pentadbiran Tun Mahathir.

Kemudian beliau berbaik semula dengan Mahathir dan menyokong Mahathir sebagai Perdana Menteri ke-7 dengan menganggap kisah lama dengan Mahathir hanyalah seperti luka-luka kecil yang telah pun sembuh. Kemudian bertelingkah semula dengan Mahathir kerana tidak menunaikan janji untuk mengangkat beliau sebagai Perdana Menteri ke-8.

Kali ini, Anwar dan PH terpaksa berhadapan dengan rakyat yang tidak akan lupa bahawa janji manifesto PH dalam pilihan raya ke-14 yang lalu hanyalah janji kosong yang mereka tidak perlu ditunaikan. ‘Manifesto bukanlah kitab suci’.

Rekod buruk pentadbiran PH sepanjang 22 bulan berada di Putrajaya juga menjadi beban kepada Anwar dalam pilihan raya ini.

DAP adalah pendukung kuat Anwar sebagai Perdana Menteri, kerana mereka tidak mahu dilihat terlalu gelojoh ingin menguasai politik negara, dengan secara langsung terus mencalonkan Lim Guan Eng sebagai Perdana Menteri.

Keempat: Tan Seri Muhyiddin Yassin

Beliau adalah Pengerusi PERIKATAN NASIONAL yang menggabungkan PAS, BERSATU, GERAKAN dan GRS.

Nama beliau semakin dikenali ramai setelah menjadi Perdana Menteri ke-8, menggantikan Tun Mahathir. Sebelum itu, beliau adalah mantan Timbalan Perdana Menteri era Datuk Seri Najib Tun Razak. Oleh kerana tegas mengkritik skandal 1MDB, Najib memecat beliau daripada Umno dan sebagai Timbalan Perdana Menteri. 

Muhyiddin mengasaskan BERSATU bersama Tun Mahathir. Ketika ketidakpuasan hati rakyat telah memuncak kepada pentadbiran PH di Putrajaya, Muhyiddin membawa BERSATU keluar daripada PH, walaupun Mahathir masih mahu bersama PH pada ketika itu.

Sepanjang menjadi PM, Muhyiddin telah berjaya mengemudi negara mendepani pandemik COVID-19 dengan sangat teratur di samping sentiasa mengumumkan insentif-insentif kebajikan untuk rakyat. Kecelaruan pentadbiran ramai menteri di bawah Kerajaan PH, telah dibetulkan semula oleh Muhyiddin di bawah Kerajaan PN. 

Oleh kerana majoriti Ahli Parlimen PN di Parlimen adalah sangat tipis, Muhyiddin sering berhadapan dengan serangan kawan dan lawan di Parlimen. Sehinggalah beliau akhirnya berjaya ‘digulingkan’ apabila Zahid dan Umno sebagai ‘kawan’ di dalam PN menarik sokongan terhadap beliau.

PAS sanggup tidak menamakan calon PM daripada partinya sendiri, kerana ingin memberikan sokongan tidak berbelah bagi kepada Muhyiddin untuk kembali sebagai PM ke-10. Ini kerana menghormati kemampuan beliau mentadbir negara dengan cekap, tanpa dibelenggu dendam dan kekecewaan lama serta komitmen tinggi Muhyiddin untuk membentuk Kerajaan yang Bersih, Prihatin dan Stabil.

Kesimpulan 

Anda berpeluang memilih PM anda pada hari Sabtu ini. Pilihlah Perdana Menteri yang terbaik untuk negara kita. Saya tentu akan memilih calon ke-4. 

Selamat mengundi.

ZAKARIA ISMAIL 
Marang
18 November 2022 – HARAKAHDAILY 18/11/2022

- Advertisement -