PTPTN: Agenda gabungan politik mana lebih realistik?

- Advertisement -

IDEA ataupun cadangan untuk menghapuskan hutang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) secara penuh tercetus dan dimasukkan dalam manifesto Pakatan Rakyat sebelum PRU12 iaitu pada 5 Mei 2013. 

- Advertisement -

Ini adalah rentetan yang berlaku apabila Kerajaan Barisan Nasional (BN) telah bertindak melupuskan pinjaman sebanyak kira-kira RM589 juta yang ditanggung tokoh korporat Tan Sri Tajudin Ramli daripada Pengurusan Danaharta Nasional Bhd seperti yang dilaporkan MalaysiaKini pada 23 Mac 2012.

Pada 26 Mac 2012, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu ketika itu yang kini adalah Presiden PAN berkata, PAS akan menyokong tindakan kumpulan pelajar yang akan mengadakan satu perhimpunan untuk menuntut supaya pinjaman melalui PTPTN dihapuskan. Beliau turut menyatakan gerakan ini bakal dilaksanakan oleh Gabungan Mahasiswa Islam (GAMIS) ketika itu.

Pada 11 April 2012, Rafizi Ramli menerusi portal miliknya telah membuat satu penulisan yang menganggarkan hutang PTPTN adalah sebanyak RM24.7 bilion. Dia telah mencadangkan agar jumlah hutang PTPTN itu dihapuskan dengan kaedah menggunakan simpanan dari cukai minyak PETRONAS sebanyak RM2 bilion setahun. Tuntutan itu tidak berhenti di situ. Susulannya, portal milik Timbalan Presiden PKR itu dari masa ke semasa banyak menyiarkan dapatan kajian dan bual bicara isu itu.

PTPTN ditubuhkan di bawah Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional 1997 (Akta 566) yang mula berkuatkuasa pada 1 Julai 1997 dengan hasrat untuk membantu dari segi yuran pengajian dan sara hidup bagi menggalakkan rakyat supaya melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Namun, pada 17 Oktober 2012, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah menggariskan faktor utama cadangan atau tindakan pemansuhan PTPTN tidak dapat dilaksanakan, disebabkan risiko akses ke pengajian tinggi di kalangan pelajar miskin akan menjadi terhad. Juga ketiadaan sumber untuk membiayai yuran pengajian pelajar IPTS, membiayai kos sara hidup pelajar, dan akan merencatkan usaha bagi merealisasikan hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat pengajian tinggi negara menjelang tahun 2020.

Pada 29 September 2012, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub ketika itu merangkap Timbalan Presiden PAN sekarang ini telah menyatakan komitmen Pakatan Rakyat untuk memberikan pendidikan percuma iaitu menghapuskan pinjaman PTPTN.

Seterusnya pada 25 Februari 2013, Pakatan Rakyat yang merupakan gabungan parti pembangkang Kerajaan Barisan Nasional ketika itu telah mengumumkan manifesto yang turut menyatakan hasrat penghapusan PTPTN. Pakatan Rakyat ketika itu menang selesa dengan terus memerintah negeri Kelantan, dan dapat menawan Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Selangor. 

Pelaksanaan penghapusan PTPTN bagaimanapun tidak dapat dilaksanakan Pakatan Rakyat ketika itu kerana tidak berjaya menerajui Parlimen kerana hanya memenangi 89 kerusi berbanding 133 kerusi BN. 

Namun pada PRU-14, Pakatan Harapan telah menguasai Parlimen dengan majoriti mudah 121 kerusi dengan bantuan Parti Warisan Sabah dan BN 79 kerusi pada PRU 8 Mei 2018.

Walau bagaimanapun, PH yang sudah tidak lagi dianggotai PAS dalam mendepani PRU14 telah mengubah manifesto mengenai penghapusan PTPTN kepada penangguhan pembayaran balik pinjaman PTPTN kepada semua peminjam yang mendapat gaji kurang dari RM4,000 sebulan dan memansuhkan dasar senarai hitam ke atas peminjam.

Tindakan ketika itu terlihat berbeza, berbanding perjuangan penghapusan PTPTN semenjak 2012 yang kronologinya semua jurucakap media mengenai isu itu adalah daripada pemimpin PKR dan PAS yang telah beralih kepada PAN.

Seterusnya pada 2 November 2018, Belanjawan Malaysia 2019 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan kerajaan PH ketika itu, Lim Guan Eng mengumumkan bahawa, “Pembayaran balik PTPTN dengan cara potongan gaji berjadual antara 2 peratus hingga 15 peratus daripada pendapatan bulanan lebih RM1,000 sebulan.”

Ketua Penerangan Umno, Datuk Dr Shamsul Annuar Nasarah yang juga mantan Pengerusi PTPTN mempersoalkan, belanjawan yang dibentang Kerajaan PH ketika itu tidak menepati janji manifesto. 

Lebih memilukan pejuang penghapusan PTPTN, pada 11 Mei 2022, Jurucakap Parlimen PKR bagi pendidikan, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, Pakatan Harapan (PH) tidak pernah berjanji untuk menghapuskan keseluruhan hutang peminjam PTPTN, sebaliknya manifesto PAD yang menawarkan sedemikian. 

Di musim tengkujuh dan persediaan negara menghadapi banjir tahun ini turut menyaksikan rakyat Malaysia terpaksa menghadapi PRU15 lebih awal selepas pengumuman Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob dari BN membubarkan Parlimen.

Episod pilu yang lalu telah disegarkan kembali perjuangan penghapusan PTPTN di dalam manifesto parti-parti gabungan utama.

Pakatan Harapan akan memperkenalkan Biasiswa B40 bagi mengurangkan kebergantungan golongan kurang berkemampuan kepada kemudahan pinjaman seperti PTPTN. Kelihatannya PH berani semula mengembalikan agenda penghapusan PTPTN tapi bersasar bagi B40 pula. Biarpun pemerintahan PH sebelum ini tidak pernah berjaya menghapuskannya walau sebahagian.

Barisan Nasional turut berani dengan agenda pemberian 100 peratus pembiayaan PTPTN dari kelompok M40 dan ke bawah. BN menawarkan untuk menjadikan PTPTN sebagai sebuah yayasan tabung amanah pendidikan nasional yang akan diberdayakan melalui endowment dan infaq masyarakat. Memperkenalkan bayaran semula PTPTN berdasarkan pendapatan dan tangga gaji selepas setahun bekerja. 

Namun PERIKATAN NASIONAL menawarkan untuk mengurangkan bayaran balik pinjaman PTPTN sebanyak 25 peratus kepada graduan dengan keputusan kelas kedua atas. Selain itu, tawaran bantuan awal RM1,000 kepada semua pelajar baharu mendaftar di IPT. Tambahan peruntukkan untuk diskaun ini telahpun dimasukkan di dalam Belanjawan Negara 2023. Anak muda melihat PN lebih mampu dari itu memandangkan hutang FELDA RM8.3 bilion telah dihapuskan kerajaan tanpa manifesto.

PTPTN sudah membantu seramai 3.6 juta pelajar dengan jumlah pinjaman yang dikeluarkan adalah sebanyak RM65.60 bilion, sehingga 31 Januari lepas. 

Untuk menghapuskan keseluruhan RM65.6 bilion terlihat agak sukar memandangkan ekonomi negara sedang dalam pemulihan. Namun jika dikira diskaun 25 peratus, sebanyak RM1.64 bilion, atau jika dianggarkan 50 peratus graduan kelas pertama dan kedua atas, RM532 juta diskaun ini dirasakan mendapat nafas baru yang lebih meyakinkan. Tindakan proaktif PN memasukkan dalam Belanjawan 2023 lebih mendorong anak muda memilih gabungan itu.

Anak muda mencari kebaikan yang mereka boleh perolehi secara realistik memandang kepada kepedihan politik tak menepati janji pada PRU yang lalu. Mereka telah matang menilai pemerintahan kesemua parti gabungan yang dirasakan sebelum ini. 

Dalam isu PTPTN, sejarah mencatatkan tiada parti pemerintah yang telah berjaya laksanakan pendidikan percuma sebelum ini biarpun BN ataupun Umno telah mendapat mandat rakyat memerintah Malaysia semenjak merdeka ataupun PH dengan mandat 22 bulan.

QUTRUNNADA MOHD LATFI

Rujukan:

1.    https://rafiziramli.com/2012/04/soal-jawab-ptptn-kita-mampu-hapuskan-ptptn/ 

2.    https://www.mstar.com.my/lokal/semasa/2012/10/17/empat-faktor-kenapa-ptptn-tidak-boleh-dimansuhkan 

3.    http://episodeperjuangan.blogspot.com/2012/04/hapuskan-ptptn-pendidikan-percuma.html?m=1 

4.    https://ms.wikipedia.org/wiki/Keputusan_pilihan_raya_umum_Malaysia_2013_mengikut_parlimen 

5.    https://pages.malaysiakini.com/100days/my/iframe.php?link=https://pages.malaysiakini.com/100days/Manifesto-PH-MY.pdf  

6.    https://www.mynewshub.tv/2018/11/bajet-2019-bukti-ph-tipu-hapus-bayar-balik-ptptn/ 

7.    https://www.malaysiakini.com/news/193163

8.    https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/03/661630/hapuskan-riba-bayaran-balik-ptptn-pas 

9.    https://www.sinarharian.com.my/article/201671/berita/politik/ph-tidak-janji-hapus-hutang-ptptn-manifesto-pas-yang-tawarkan 

10.    https://www.moe.gov.my/menumedia/media-elektronik/berita-dan-aktiviti/bajet-2019-lebih-insentif-untuk-peminjam-ptptn 

11.    https://kekandamemey.com/manifesto-bn.htmlHARAKAHDAILY 16/11/2022

- Advertisement -