Ya Allah, sebaknya hati…

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: ‘Ya Allah, sebaknya hati…’ demikian tajuk pada satu hantaran menerusi laman Facebook calon PERIKATAN NASIONAL bagi DUN Cheka, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man.

- Advertisement -

“Ustaz, tahun 2018 kami nak buka bilik operasi pun tak boleh…”

“Masya-Allah, kali ini telah tersergam megah,” tulisnya.

Menurutnya, PERIKATAN NASIONAL Cheka telah buka bilik operasi di Batu 9, Kenong dan bertekad kuat untuk memenangi kawasan itu.

Katanya lagi, para petugas telah bersedia dan sedang berkempen untuk memenangkan PERIKATAN NASIONAL di Cheka dan Parlimen Lipis.

“Insya-Allah. Kita doakan Cheka, Lipis dan Pahang menang bersama Perikatan Nasional tahun ini,” ujarnya yang juga Timbalan Presiden PAS.

Dalam hantaran lain, beliau menyatakan bahawa rakyat Cheka mula cetus perubahan.

Menurut Tuan Ibrahim, program minum petang semalam bersama para petugas PERIKATAN NASIONAL dan pengundi di Batu 9, Kenong dan Jeram Landak menerima sambutan yang amat baik.

“Insya-Allah, rakyat sudah mula berani mencetus perubahan. Kita berharap momentum terus dinamik hingga 19 November ini,” tambahnya.

Menerusi satu lagi hantaran, beliau memuat naik foto orang ramai yang hadir pada program ceramah di Kampung Kerambit, malam tadi. (Foto bawah)

“Alhamdulillah, ramai pengundi sekitar Kerambit hadir mendengar penjelasan isu-isu semasa termasuk tawaran BEST Perikatan Nasional khususnya untuk rakyat negeri Pahang.

“Terima kasih mereka yang sudi hadir. Teruskan bersama dan mengundi PERIKATAN NASIONAL pada 19 November ini nanti,” katanya.

Tuan Ibrahim menghadapi saingan daripada Dr Rasid Muhamad (PH), Aishaton Abu Bakar (PEJUANG) dan Ho Fong Mee (BN) pada PRU15 ini.

Pada PRU14 lalu, DUN Cheka dimenangi calon BN, Lee Ah Wong yang memperolehi 3,475 undi dengan majoriti 202 undi. Calon PAS, Saludin Endol mendapat 3,273 undi dan Rasid Muhamad (PKR – 2,930).

Berdasarkan data Suruhanjaya Pilihan Raya, jumlah pengundi DUN Cheka pada PRU15 adalah seramai 15,962 orang dengan 859 pengundi awal. – HARAKAHDAILY 14/11/2022

- Advertisement -