Tuan Guru dedah politik halus di sebalik gerakan Reformasi

- Advertisement -

MARANG: Komunis pernah berusaha menghapuskan Islam di negara China dan Rusia termasuk Indonesia, namun sama sekali gagal, bahkan perkembangan agama terus berkembang dan berlangsung hingga kini.

- Advertisement -

Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang juga calon PERIKATAN NASIONAL P.037 Marang mengupas sejarah tersebut semasa menyampaikan Kuliah Dhuha di Masjid Rusila, di sini pagi tadi.

Menurut beliau, Islam telah masuk ke rantau Asia Tenggara dan alam Melayu ini secara perdagangan perniagaan telah dianuti Raja-raja dan penduduk tempatan khususnya Malaysia, Indonesia, Selatan Filipina dan Selatan Thailand.

Jelas beliau, penerimaan oleh penduduk rantau ini dalam mengamalkan Islam bahkan terlaksana dalam pemerintahan dengan menjalankan hukum syariat sebagaimana bukti-bukti seperti Batu Bersurat dan sebagainya.

Pun demikian katanya, kelekaan umat Islam menyebabkan negerinya dijajah bukan sahaja di rantau ini, tetapi juga di negeri Arab, India dan Pakistan, bahkan Islam dimusuhi banyak kumpulan lain seperti Liberal dan Kapitalis.

“Di Indonesia oleh kerana jumlah orang Islam paling besar dalam dunia, Komunis sangat berminat untuk menguasai Indonesia. Kerana jumlah rakyat dia ramai. Maka gerakan Komunis berlaku di Indonesia. Tahun 1965.

“(Iaitu) Sebaik saja Belanda dihalau. (Sedangkan) Yang halau Belanda ni ialah orang Islam. Komunis ambil alih terus pintas, bunuh raja-raja, bunuh ulamak-ulamak di Indonesia.

“Apa jadi masalah, Komunis dengan orang putih (penjajah Barat) berpakat walaupun Komunis (dengan) orang putih ni berperang berkelahi, tapi lawan Islam (mereka) sama-sama. Tak beri Islam ni memerintah.

“Di negeri Arab, Islam kuat. Orang putih memerintah. (Bila) Orang putih kena lari, kena undur, dia lari dia serah ke Komunis. Di Yaman Selatan sebagai satu contoh orang putih takluk, orang putih nak lari serah ke Komunis memerintah Yaman Selatan,” ceritanya.

Di Indonesia menurutnya, berlaku begitu juga apabila Belanda serah kepada Komunis, namun cubaan Komunis merampas kuasa di Indonesia telah digagalkan oleh tentera Indonesia yang bergabung dengan pondok atau pesantren.

Pun begitu kata Tuan Guru, gerakan Komunis juga tidak mati tetapi menjadi seperti ‘api dalam sekam’ dan wujud dengan pelbagai cara termasuk dengan mempergunakan orang Islam tanpa disedari atau kerana kejahilan.

Beliau turut menceritakan mengenai gerakan di Indonesia yang menimbulkan dalam kalangan rakyat isu-isu berhubung kelemahan kerajaan, rasuah, harga barang naik dan sebagainya untuk membangkitkan kemarahan.

Katanya, kemarahan yang menyebabkan kebangkitan rakyat itu dikenali sebagai gerakan reformasi atau gerakan pembaharuan untuk menukar kerajaan secara perarakan jalanan dengan mengerah orang Islam.

Tanpa disedari ujarnya, umat Islam dijadikan ‘wayang kulit’ di mana wujud dalang di belakang gerakan tersebut, namun yang naik adalah kerajaan tanpa melaksanakan Islam dan tetap menyebabkan kecelaruan.

Gerakan reformasi itu jelasnya, turut dibawa ke Malaysia dan umat Islam-Melayu negara ini di mana PAS mengambil pendirian berundur daripada permainan politik halus yang wujud di sebalik semua itu. – HARAKAHDAILY 11/11/2022

- Advertisement -