Tawaran prihatin buat para Guru KAFA

- Advertisement -

GURU-guru KAFA adalah kumpulan guru yang besar baktinya dalam membentuk kemenjadian murid yang cemerlang di dunia dan akhirat. Mereka inilah merupakan  kelompok pendidik yang menerap pendidikan asas agama seperti pembelajaran al-Quran dan Asas Fardhu Ain yang menjadi ‘tapak asas’ kepada penguasaan  kefahaman agama kepada kanak-kanak beragama Islam di negara ini.

- Advertisement -

Sehingga Jun 2021, jumlah guru KAFA seluruh negara adalah seramai seramai 35,000 dengan jumlah murid 1,225,965 orang. Jumlah premis KAFA yang berdaftar pula adalah sebanyak 5,943 buah dengan jumlah kelas sebanyak 53,101 buah. 

Guru KAFA dilantik dalam kalangan mereka yang mempunyai kelulusan Pendidikan Islam berdasarkan syarat-syarat tertentu yang ditetapkan. Mereka dilantik secara kontrak oleh Agensi Pelaksana di negeri (Pihak Berkuasa Agama Negeri) mengikut jumlah kuota yang diluluskan oleh Kementerian Kewangan dari semasa ke semasa. 

Sehingga tahun 2020, kuota Guru KAFA yang diluluskan adalah seramai 35,000 orang di seluruh negara. Guru KAFA dibayar elaun sebanyak RM1,000.00 setiap bulan, caruman KWSP sebanyak RM130.00 dan PERKESO sejumlah RM16.65 dengan menggunakan peruntukan-peruntukan Kerajaan Persekutuan yang diuruskan oleh JAKIM.

Selaku kelompok pendidik yang penglibatannya telah bermula semenjak 32 tahun, sewajarnya kebajikan guru-guru ini, begitu juga pegawai-pegawai penyelia KAFA yang masih berstatus Contract Of Servis Gred S19  diberi perhatian. Permasalahan utama yang melingkari kebajikan guru-guru dan para pegawai ini adalah apabila  perjawatan ini tidak disandarkan kepada mana-mana Skim Perkhidmatan Awam Persekutuan mahupun skim Pegawai Perkhidmatan Pendidikan.

Biarpun demikian pelbagai usaha telah dilaksanakan  antara peruntukan yang diberikan dalam Bajet 2022 melalui JAKIM sebanyak RM481 juta bagi meningkatkan elaun guru KAFA dan penambahbaikan Caruman KWSP sebanyak RM130 dan Caruman Perkeso RM16.65 yang menjadikan jumlah elaun bulanan guru KAFA sebanyak RM1,146.65. Begitu juga dengan pemberian kemudahan cuti bersalin berelaun penuh mulai 1 Januari 2022.

Namun usaha ini tidak kesampaian, apabila pihak JAKIM menerima ulasan daripada pihak MOF bertarikh 6 Julai 2022 berkaitan pemberian cuti bersalin berelaun penuh ini ditangguhkan berikutan masalah Skim Perkhidmatan Guru-guru KAFA ini.

Mengambil cakna isu ini, PERIKATAN NASIONAL menawarkan manifesto menaikkan elaun guru KAFA sebanyak 50 peratus ke RM1,500 sebulan dan memperkenalkan Skim Khas Penyerapan ke jawatan tetap secara berperingkat bagi mengatasi masalah utama kebajikan guru-guru KAFA.

Hal ini kerana, sesungguhnya isu kebajikan guru-guru KAFA sejak berpuluh tahun dahulu, memerlukan penyelesaian jangka panjang dan menyeluruh yang bersifat substantif. Semoga dengan tawaran penyelesaian ini dapat memberikan kelegaan dan menjamin kebajikan guru KAFA yang telah berjasa kepada anak bangsa. Insya-Allah

NUR FARHANA OMAR
The Research – HARAKAHDAILY 11/11/2022

- Advertisement -