KOTA BHARU: Dakwaan Rafizi Ramli kononnya Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) menganugerah projek tebatan banjir bernilai RM2 bilion secara rundingan terus kepada syarikat dimiliki individu dikaitkan pemimpin Umno, dianggap sebagai agenda menutup kelemahannya.
Timbalan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menganggap Timbalan Presiden PKR terbabit mempunyai agenda bagi menutup penyelewengan yang dilakukannya.
Beliau mempersoalkan aset berjumlah hampir RM17 juta melalui pegangan saham dalam Invoke Solutions diasaskan pemimpin terbabit.
Selain itu kata beliau tindakan tersebut bagi menutup hasrat PERIKATAN NASIONAL (PN) untuk menubuh sebuah kerajaan yang bersih dan pemerintahan stabil.
“Saya melihat fitnah yang beliau keluarkan memperlihatkan dia berusaha untuk mengalihkan isu mengenai dana yang beliau ada dan invoke.
“Kita mendominasi agenda untuk memastikan negara bebas rasuah, soal integriti tinggi dan mereka pula berusaha merosakkan nilai-nilai tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis munajat dan taujihat sempena Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di Bilik Operasi Pilihan Raya Parlimen Kubang Kerian di sini malam tadi.
Rafizi baru-baru ini mendakwa kerajaan meluluskan segera projek tebatan banjir di bawah pentadbiran kerajaan sementara, sebagai timbal balas selepas menerima dana untuk digunakan sepanjang PRU15.
Berikutan Tuan Ibrahim yang juga Menteri KASA menuntut Rafizi membuat permohonan maaf kerana menuduh meluluskan projek tebatan banjir selepas Parlimen dibubarkan.
Tuntutan tersebut dibuat melalui tetuan Yusfarizal Aziz & Zaid dan memberi tempoh tujuh hari mengeluarkan draf permohonan maaf. – HARAKAHDAILY 11/11/2022
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!