Steven Koh batal kempen bantu mangsa banjir

Tangkap layar di Facebook Steven Koh.
- Advertisement -

BUKIT MERTAJAM: Calon PERIKATAN NASIONAL Parlimen Bukit Mertajam, Steven Koh membatalkan kempen pada malam ini bagi membantu mangsa banjir.

- Advertisement -

Dalam satu hantaran di Facebook Steven Koh P045 Bukit Mertajam yang dimuat naik sejam lalu menyatakan beliau mengarahkan jenteranya membatalkan kempen untuk malam ini.

“Minta maaf semua hari ini saya terpaksa membatalkan semua kempen pilihan raya saya dan mengarahkan jentera yang ada untuk membantu (mangsa banjir).

“Untuk setakat ini, kita akan bergerak ke tempat-tempat yang terjejas,” kata Steven Koh.

Menurut rakaman yang dikongsikan di Facebook Steven Koh, seramai 15 anggota Jabatan Amal Malaysia negeri Pulau Pinang dan Khidmat Malaysia bersama tiga buah kenderan pacuan empat roda digerakkan ke lokasi terjejas banjir.

Hujan lebat sejak petang tadi di beberapa kawasan di Pulau Pinang menyebabkan beberapa kawasan di Bukit Mertajam dinaiki air mengakibatkan bencana banjir kilat.

Antara kawasan terlibat Machang Bubok, Bukit Teh, simpang tiga Tasek di Junjung, Taman Impian dan beberapa lagi kawasan turut terjejas.

Sedikit mengenai Steven Koh merupakan aktivis yang bergiat aktif dalam kerja-kerja kebajikan di Pulau Pinang.

Semasa pandemik melanda dunia, beliau mengaktifkan My Kitchen sebuah perniagaan atas talian. 

Setiap bungkusan makanan yang dijual akan diambil sebanyak 50 sen diperuntuk kepada sebuah dana khas untuk penyediaan makanan kepada golongan rentan.

Steven Koh juga merupakan satu-satunya calon PERIKATAN NASIONAL daripada Dewan Himpunan Pendukung PAS yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15.

Pencalonan beliau dalam pilihan raya adalah pertama kali dan bakal berdepan penyandang Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim (DAP-PH) dan Ah Pang (BN). –HARAKAHDAILY 11/11/2022

- Advertisement -