Memperkasa FELDA dan tsunami politik 2.0

- Advertisement -

ALHAMDULILLAH, semalam saya berpeluang ke Felda Lepar Hilir 3, berjumpa dengan para peneroka tanah rancangan di Pahang. 

- Advertisement -

Peneroka dan FELDA cukup sentimental di hati saya. Saya tidak pernah melupakan warga FELDA. 

Saya memahami keadaan kehidupan mereka dan sebab itu tidak sampai setahun saya menjadi Perdana Menteri, saya telah melupuskan hutang peneroka FELDA bernilai RM8.3 bilion. 

Itulah antara keputusan yang Kerajaan PERIKATAN NASIONAL sebelum ini lakukan untuk membalas jasa peneroka yang telah memberi sumbangan signifikan terhadap ekonomi negara.

PERIKATAN NASIONAL (PN) begitu menghargai jasa warga FELDA. Sebab itu di dalam Tawaran PN, terdapat tunjang khusus Memperkasa Warga FELDA, yang antara lain menyediakan perumahan untuk generasi kedua.  

Kita hendak terus membela nasib para peneroka termasuk anak-anak mereka. Ini janji kita. Percayalah. Kita telah melakukannya tanpa menunggu pilihan raya pun.

Saya telah melawat beberapa kawasan FELDA. Sejak dibuka oleh Almarhum Tun Abdul Razak pada 1956, kalau mengikut sejarah, FELDA merupakan kubu kuat Umno dan BN. Tetapi sekarang tidak lagi begitu.

Mutakhir ini sudah ada perubahan besar dalam kalangan peneroka dan keluarga termasuk generasi kedua yang mahukan anjakan baharu dalam kehidupan mereka.

Saya dapat merasai gelombang pembaharuan ini. Ini dapat dilihat daripada kehadiran ramai warga FELDA ke program Jelajah PERIKATAN NASIONAL PN BEST.

Doakanlah agar gelombang ini semakin besar dan mampu membantu PN membentuk kerajaan selepas 19 November ini, agar kita dapat menyelamatkan negara dan terus melindungi hak-hak agama, bangsa dan negara kita.

Alhamdulillah, pada sebelah malam di Balok, Jelajah PN BEST Indera Mahkota turut mendapat sambutan hangat daripada pengundi sekitar, yang sanggup hadir walaupun hujan lebat.

Mungkin kali ini akan berlaku ‘tsunami politik 2.0’ yang boleh membersihkan bumi tercinta ini daripada segala kemungkaran. 

Kita tidak mempunyai pilihan lain selain mengundi PERIKATAN NASIONAL, jika mahukan sebuah kerajaan yang prihatin rakyat, bersih dari segi tadbir urus dan stabil untuk membawa ke arah Malaysia Gemilang.

TAN SRI MUHYIDDIN YASSIN
Pengerusi PERIKATAN NASIONAL (PN) – HARAKAHDAILY 11/11/2022

- Advertisement -