Masalah tempat tinggal belum ada penyelesaian?

5 tawaran PN bakal legakan golongan belia

- Advertisement -

MENGOPTIMUM penggunaan kuarters milik Kerajaan dan GLC yang tidak diduduki melalui kaedah penyewaan bagi kegunaan rakyat.

- Advertisement -

Kuarters kerajaan yang telah ditinggalkan dan terbiar usang tanpa penyelenggaraan dah terlalu banyak wujud di Malaysia. Kuarters yang telah diterhadkan penggunaannya khusus untuk penjawat awam yang berkhidmat, telah terbiar usang apabila penjawat awam memilih untuk tidak tinggal di kuarters atau telah mendapat rumah sendiri. 

Seramai 1.6 juta penjawat awam hanya meliputi 4.8 peratus berbanding 32.7 juta keseluruhan jumlah rakyat Malaysia pada 2022. Ini bermakna, 95.1 peratus orang lagi merupakan rakyat Malaysia yang bekerja di sektor swasta termasuk mereka yang berniaga sebenarnya boleh ditawarkan untuk memenuhi rumah kuarters yang kosong.

PERIKATAN NASIONAL menawarkan untuk mengoptimumkan penggunaan perumahan kuarters kerajaan dan GLC yang kosong dan terbiar sebagai salah satu langkah dan inisiatif baru yang perlu diambil bagi menyelesaikan masalah perumahan rakyat Malaysia. Di samping itu, ia adalah untuk mengatasi masalah pembaziran aset negara sedia ada.

Menawarkan Skim Perumahan Mikro Belia Mampu Sewa di bandar-bandar utama.

Pada suku pertama 2022 ini, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sahaja menawarkan 67,880 peluang pekerjaan, diikuti 26,869 di Selangor dan 11,611 di Terengganu. Ini diikuti dengan jumlah permintaan sewa rumah di bandar yang paling tinggi iaitu sebanyak 8.4 peratus dibandingkan dengan kadar sewa di tempat yang sama minimum RM1,700 sebulan hingga mencecah RM5,800 sebulan di luar kemampuan sebahagian dari mereka. 

B40 kawasan bandar berpendapatan RM2,208 hingga RM4,000 yang mampu menyewa bawah RM800 sebulan berhadapan dengan kekurangan penawaran perumahan jenis ini. Makanya Skim Perumahan Mikro Belia mampu sewa di bandar ini ditawarkan di bandar-bandar utama. 

Meneroka potensi komersial aset kerajaan untuk menjana hasil yang boleh digunakan untuk penambahbaikan dan penyelenggaraan aset kerajaan yang lain.

Untuk membangunkan semula aset kerajaan yang telah lama ditinggalkan memerlukan kos penyelenggaran dan pembaikan yang sangat besar memandang kepada jumlahnya. 

PERIKATAN NASIONAL menawarkan untuk mengambil inisiatif tambahan untuk meneroka potensi komersial aset kerajaan lain untuk menjana hasil sebagai sumber pendapatan bagi tujuan membantu menampung kos penambahbaikan dan penyelenggaraan ini. Dan lebihannya boleh menjadi sumber yang boleh diberi lagi kepada rakyat.

Untuk tujuan yang sama, PERIKATAN NASIONAL turut menawarkan untuk menyediakan peruntukan khas sebanyak RM2.5 bilion setahun bagi penyelenggaraan kuarters Kerajaan Persekutuan di seluruh negara untuk tempoh 2023 hingga 2025.

Menambah baik skim pembiayaan perumahan bagi B40 dan M40 seperti rent-to-own (RTO) dan pembelian tanah.

Pelaksanaan RTO sedia ada hanya melibatkan kawasan di Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang dan masih ramai rakyat Malaysia yang belum mendapat manfaatnya. 

Pada 11 Oktober 2019, semasa Bajet 2020 diumumkan, kerajaan telah memperkenalkan Skim Sewa-Untuk-Beli (RTO).

Pihak kerajaan bekerjasama dengan beberapa institusi kewangan bagi skim ‘Maybank Houzkey’, skim ‘PR1MA’, dan skim ‘Smart Home (Selangorku)’. Ini adalah bagi membantu golongan yang kurang berkemampuan untuk membayar deposit sebanyak 10 peratus, serta menjamin pembiayaan perumahan untuk rakyat.

Ini bermakna, penyewa boleh menyewa selama 2 hingga 5 tahun dan kemudian diberi pilihan untuk membeli hartanah tersebut pada harga yang dipersetujui dalam kontrak awal sewa dengan pengecualian duti setem. 

Tawaran PERIKATAN NASIONAL kali ini adalah bagi memperluaskan skim ini ke seluruh Malaysia dan mengembangkan skim ini agar tidak terikat kepada perumahan semata, bahkan boleh diperolehi untuk pemilikan tanah juga.

Mempergiatkan pemulihan projek perumahan yang terbengkalai di kawasan strategik.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) merekodkan sebanyak 79 projek perumahan swasta dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM5.57 bilion terbengkalai di Semenanjung setakat 30 September 2021. Mengikut Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 [Akta 118] jumlah itu melibatkan 17,724 unit rumah dengan 11,824 pembeli.

Sejak tahun 2009 hingga September 2021, KPKT berjaya menyelesaikan projek perumahan swasta terbengkalai sebanyak 215 projek, 59,090 unit rumah yang melibatkan seramai 39,247 orang pembeli.

PERIKATAN NASIONAL menawarkan untuk menyelesaikan projek perumahan terbengkalai selebihnya itu dengan kaedah dan mekanisme memulihkannya melalui penyelesaian yang dipersetujui bersama oleh pemaju penyelamat dan juga pembeli.

QATRUNNADA MOHD LATFI – HARAKAHDAILY 11/11/2022

Rujukan:

1.    https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/08/983939/kerajaan-wujudkan-rangka-tindakan-isu-gelandangan  

2.    https://www.bharian.com.my/rencana/lain-lain/2021/05/819444/kesan-pandemik-beri-dimensi-baharu-kemiskinan-bandar  

3.    https://www.dosm.gov.my/v1/uploads/files/5_Gallery/2_Media/4_Stats%40media/4-Press_Statement/2022/05.%20MEI/JMI%20MJP%20Q122.pdf 

4.    https://malaysiagazette.com/2022/05/31/jawatan-kosong-melonjak-suku-pertama-tahun-ini/ 

5.    https://www.propertyguru.com.my/bm/panduan-hartanah/kawasan-pasaran-sewa-positif-selepas-pandemik-covid-55201 

6.    https://www.iproperty.com.my/bm/pandangan-hartanah/kawasan-rumah-sewa-paling-popular-di-malaysia-2020-56104 

7.    https://www.propertyguru.com.my/bm/panduan-hartanah/apakah-itu-skim-sewa-untuk-beli-rto-34050  

8.    https://www.utusan.com.my/rencana/forum/2022/08/kecewa-bekas-kuarters-tudm-ditinggal-usang/  

9.    https://www.utusan.com.my/berita/2022/05/kuarters-institusi-pendidikan-terbiar/ 

10.    https://www.sinarharian.com.my/article/165625/berita/nasional/79-projek-perumahan-bernilai-rm557-bilion-terbengkalai 

- Advertisement -