Perbandingan Manifesto PRU15: Kos sara hidup

- Advertisement -

RAKYAT semakin terbeban dengan kos sara hidup yang meningkat terutamanya akibat kesan pandemik dan juga kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) beberapa kali pada tahun ini. 

- Advertisement -

Kenaikan kadar inflasi merupakan fenomena global yang turut dialami oleh kebanyakan negara disebabkan kenaikan input pengeluaran dan harga bahan api.

Oleh itu, gabungan yang membentuk Kerajaan Malaysia selepas PRU15 nanti perlu mempunyai strategi bagi meringankan beban rakyat yang semakin terhimpit. 

Kos sara hidup dan taraf hidup adalah dua perkataan yang saling berkait rapat antara satu sama lain. 

Kos sara hidup adalah kos bagi mendapatkan keperluan-keperluan asas seperti makanan dan tempat tinggal serta kerpeluan lain seperti pendidikan dan akses jalur lebar. 

Maka taraf hidup adalah perbandingan di antara pendapatan dan kos sara hidup seisi rumah. 

Taraf hidup seseorang dikira merosot sekiranya pendapatan yang diterima tidak cukup untuk menanggung kos sara hidup.

Tiga gabungan dominan pada PRU15 kali ini telah melancarkan manifesto masing-masing. 

Seperti dijangka, antara kandungan manifesto ketiga-tiga gabungan ini adalah bagi menangani kos sara hidup dan menaikkan taraf hidup rakyat Malaysia. 

Pakatan Harapan (PH) akan meneruskan Bantuan Sara Hidup (BSH) yang pernah diperkenalkan sewaktu kerajaan Barisan Nasional di bawah jenama lain. 

Selain itu, bagi memastikan pertumbuhan yang sihat dan tidak terbantut  di kalangan kanak-kanak keluarga miskin, PH menawarkan bantuan bulanan untuk setiap keluarga akan diberi mengikut bilangan anak yang berumur 6 tahun dan ke bawah.

Barisan Nasional (BN) pula menggunakan strategi percukaian dengan mengurangkan kadar cukai sebanyak 2 peratus bagi kelompok M40 berpendapatan antara RM50,000 hingga RM100,000 setahun. 

Selain itu, BN juga bercadang memberikan Skim Bantuan Asas yang akan dikreditkan secara automatik secara bulanan kepada isi rumah dengan pendapatan kurang dari RM2,208.

Perikatan Nasional (PN) mencadangkan langkah proaktif dari dengan menubuhkan MyPrihatin sebagai pusat sehenti dan pangkalan data bagi menyalurkan bantuan. 

Ini bagi memastikan agar tiada golongan tercicir daripada menerima bantuan. 

Bagi meringankan membolehkan rakyat mendapat perkhidmatan kesihatan secara percuma,PN bercadang mewujudkan Kad Prihatin Nasional yang boleh digunakan di klinik swasta dan hospital kerajaan. 

Di samping itu, golongan miskin dan miskin tegar dapat menikmati bas sekolah percuma dan pusat penjagaan percuma bagi anak-anak.

QGENANALYST – HARAKAHDAILY 9/11/2022

Sumber Asal: https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=pfbid0DsAnzkAfd1hCqVq23t8KizLBF4Zg9Kzdp6MpmGibNSUN9Y4bz859Gh18pGKyBDY8l&id=100042985766158&sfnsn=mo 

Rujukan:

1. https://kitaboleh.my/ 

2. https://www.pnbest.my/tawaran-pnbest 

3. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/11/1022492/manifesto-bn-teks-penuh-ucapan-pengerusi-bn-lancar-padu 

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -