Pahang guna logo PN untuk PRU15

Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Andansura Rabu.
- Advertisement -

Oleh NORHANA MAT ZIN

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Negeri Pahang sudah membuat persiapan rapi untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang dijangka akan berlangsung pada bulan November ini, dan kesemua parti komponen di bawah Perikatan Nasional (PN) bersetuju untuk hanya menggunakan logo PN. 

Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Andansura Rabu berkata, parti komponen yang berada di bawah PN di negeri Pahang terdiri daripada PAS, Bersatu dan Gerakan telah pun selesai membuat persiapan menghadapi PRU kelak. 

“Perkara asas yang utama tentang agihan kerusi, alhamdulillah telah selesai dengan penuh harmoni antara PAS, Bersatu dan Gerakan. 

“Namun begitu, agihan kerusi bagi negeri Pahang yang akan bertanding pada PRU15 akan diumumkan kemudian,” jelasnya.  

Menurut beliau, di pihak PAS sendiri, persetujuan untuk hanya menggunakan logo PN bagi kesemua parti komponen di bawah PN di Pahang yang akan bertanding pada PRU15 telah ditetapkan oleh PAS Pusat. 

Beliau yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Indera Mahkota turut memberitahu, penggunaan logo yang berasingan antara PAS, Bersatu dan Gerakan bukan satu keperluan, sebaliknya tumpuan lebih kepada usaha bagi memastikan parti menang dan terus menerajui kepemimpinan negeri.

Terdahulu, Andansura  turut memberitahu bahawa pada 10 Okt  lalu, Pahang telah menyempurnakan majlis pelancaran Perikatan Nasional (PN) yang bertempat di Kompleks Al Makmur Kerdau, Temerloh, Pahang yang  dirasmikan oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tambah Andansura, jentera PN kini sudah bersedia dengan perancangan gerak kerja dalam menghadapi PRU15.

“Sehingga kini, respons yang diterima daripada seluruh jentera yang berada di bawah PN adalah sangat positif dan suasananya sangat baik untuk Pahang menuju PRU15 kelak,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/10/2022

- Advertisement -