Mohamed Salah lebih hebat di posisi tengah

Gaya Mohamed Salah selepas menjaringkan gol menentang Manchester City
- Advertisement -

Susunan ZIAUDDIN SHARUDDIN

Pengurus Liverpool, Juergen Klopp, gembira dengan persembahan penyerang, Mohamed Salah dI posisi tengah selepas gol pemain Mesir itu memastikan kemenangan terhadap atas juara bertahan, Manchester City dalam Liga Perdana, Ahad lalu.

Salah mengatasi halangan Joao Cancelo untuk menjaringkan gol, sekali gus memberikan kemenangan yang amat diperlukan selepas Liverpool mempamerkan prestasi terburuk selepas lapan perlawanan awal musim Liga Perdana sejak musim 2012-13.

- Advertisement -

“Sungguh hebat. Jelas sekali, dia adalah seorang daripada dua penyerang di bahagian tengah bersama Roberto Firmino. Jaringannya bertaraf dunia,” kata Klopp.

Klopp berkata, Salah yang biasanya memainkan peranan yang lebih terbuka, bernasib malang kerana tidak menjaringkan gol lebih awal.

“Situasi sebelum itu benar-benar malang kerana dia tidak menjaringkan gol. Selain itu, dia bagus dari segi penguasaan bola, ancaman berterusan di belakang, bekerja sangat keras dan prestasi cemerlang,” katanya.

Salah yang juga bermain di posisi tengah apabila menjaringkan hatrik terpantas dalam sejarah Liga Juara-Juara ketika Liverpool menewaskan Rangers 7-1 Rabu lalu, berharap dua kemenangan sebelum ini akan mengubah nasib Liverpool.

“Mudah-mudahan ini memberi kami lebih keyakinan untuk mula memenangi perlawanan. Beberapa minggu lalu, seperti yang anda lihat, kami tidak berada dalam prestasi terbaik.

“Kami sudah mulakan, bermula dengan perlawanan terakhir dan perlawanan ini juga kami menang. Jadi kami perlu teruskan,” kata Salah.

- Advertisement -