Bekas Pengarah Pilihan Raya PAS Kedah meninggal dunia

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
Bekas Pengarah Pilihan Raya PAS Kedah Dato’ Muhammad Yusuf Husin, 68, meninggal dunia kira-kira jam 12.08 tengah hari tadi di kediamannya di Kampung Memali.

- Advertisement -

Allahyarham sebelum ini mengidap kanser mata dan sering berulang alik menerima rawatan di hospital.

Arwah juga merupakan ahli jawatankuasa PAS Kedah dan ahli jawatankuasa Lajnah Politik dan Pilihan Raya PAS negeri.

Sebelum ini pernah dilantik sebagai senator dan menjadi saksi utama peristiwa berdarah Memali 37 tahun lalu.

Arwah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Istiqamah pada Muktamar PAS kali ke-68 di Kompleks PAS Kedah 3 September lalu.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Senator Dato’ Ahmad Yahaya berkata, PAS Kedah merakamkan ucapan takziah di atas pemergian tokoh yang banyak berjasa di negeri itu.

Katanya, Allahyarham merupakan antara pemimpin paling lama memegang jawatan sebagai jawatankuasa PAS negeri itu sejak akhir 1980-an.

“Allahyarham terlalu banyak jasa terhadap PAS Kedah terutama di bidang pentadbiran dan pilihan raya. Kehilangannya merupakan kehilangan besar buat kami,” katanya di sini.

Malah kata beliau arrwah sangat komited dengan tugasan dan sanggup hadir ke mesyuarat walaupun kesihatan tidak mengizinkan.

“Semoga Allah mengampunkan dosa-dosanya dan menempatkan rohnya dalam kalangan orang-orang yang bertaqwa. Saya juga berharap seluruh ahli keluarganya bersabar atas ketentuan Ilahi,” ujarnya.

Allahyarham meninggalkan seorang balu dan 10 anak. – HARAKAHDAILY 18/10/2022