Gerakkan seluruh jentera mengikut kadar kemampuan

- Advertisement -

وَأَعِدُّواْ لَهُم مَّا ٱسۡتَطَعۡتُم مِّن قُوَّةٍ وَمِن رِّبَاطِ ٱلۡخَيۡلِ تُرۡهِبُونَ بِهِۦ عَدُوَّ ٱللَّهِ وَعَدُوَّكُمۡ وَءَاخَرِينَ مِن دُونِهِمۡ لَا تَعۡلَمُونَهُمُ ٱللَّهُ يَعۡلَمُهُمْۚ وَمَا تُنفِقُواْ مِن شَىۡءٍ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ يُوَفَّ إِلَيۡكُمۡ وَأَنتُمۡ لَا تُظۡلَمُونَ 

“Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.”

(al-Anfal: 60)

- Advertisement -

Persediaan menghadapi musuh. Usaha dan ikhtiar merupakan topik besar dalam pengajian aqidah. Batas hamba adalah usaha. Tidak berusaha ertinya tidak melakukan tanggungjawab kehambaan. Usaha dengan tidak bersungguh merupakan kesalahfahaman. Usaha sehingga hati bergantung kepada usaha, lupa kuasa Allah merupakan kejahilan. 

Usaha menghadapi musuh dengan segala kekuatan adalah tanggungjawab umat Islam. Persediaan menghadapi musuh berbeza pada setiap zaman kerana berbeza medan perjuangan. Zaman kini, medan perang menghadapi musuh Allah hampir di semua medan. Medan politik, medan ekonomi, peperangan bersenjata, serangan pemikiran, luar dan dalam. 

Kesemua medan ini memerlukan persediaan yang berbeza-beza. Kita bersedia mengikut kemampuan. Tidak perlu bersedia hingga menggadaikan halal haram, dosa pahala, dan agama. Persediaan yang perlu kita lakukan perlulah menepati landasan yang telah ditetapkan oleh Islam. 

Ketentuan milik Allah. Inilah yang menarik mengenai akidah Islam. Kita tidak perlu menuruti kehendak manusia dalam bersedia menghadapi musuh apabila kehendak manusia itu membawa kepada maksiat. Ini kerana kemenangan datang dari Allah. 

Bersiap seperti yang dituntut oleh Islam. Persediaan aqidah yang tulen, ibadah yang benar, keperluan peperangan yang sesuai pada zamannya. Persediaan ini tidak mengubah takdir, tetapi persediaan ini adalah tanggungjawab sebagai hamba. 

Bila sampai ketentuan Allah, maka akan hadirlah kemenangan. Pengorbanan kita tidak akan sia-sia. Yang lebih menarik adalah semua persediaan yang kita lakukan sepanjang masa bagi menghadapi musuh Islam tidak pernah sia-sia. Masa yang kita luangkan, kewangan yang kita belanjakan, pemikiran yang kita sumbangkan, kudrat yang kita berikan, semuanya ada ganjaran di sisi Allah. 

Pendek kata, jika kemenangan dunia tidak hadir pada zaman kita sekali pun, kita telah berjaya di sisi Allah kerana memenuhkan masa kita dengan beribadah. Tapi kalau kemenangan dunia itu hadir, ia bonus. ‘So, enjoy your preparation, its nothing to loose’.

AIREROSHAIRI ROSLAN
Ketua Pemuda PAS Pahang – HARAKAHDAILY 13/10/2022

- Advertisement -