Status DUN Pahang diketahui selepas belanjawan diluluskan

- Advertisement -

KUANTAN: Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata status Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang akan ‘diketahui dalam masa terdekat’ selepas Belanjawan Pahang 2023 diluluskan.

- Advertisement -

Beliau berkata keutamaan buat masa ini adalah untuk meluluskan belanjawan yang dibentangkan pada Jumaat lepas, supaya perancangan kerajaan negeri untuk manfaaat rakyat menerusi belanjawan itu dapat dilaksanakan.

Ditanya sama ada Belanjawan Pahang 2023 akan terpakai jika berlaku pilihan raya dalam masa terdekat, Wan Rosdy berkata: “Ya, terpakai… kita hendak meluluskan belanjawan (dahulu) kerana itu penting. Kalau tak (belanjawan) diluluskan, kena bentang semula”.

Wan Rosdy berkata demikian semasa ditanya mengenai status DUN Pahang pada Majlis Penyerahan Sumbangan Persiapan Banjir oleh Petronas kepada kerajaan negeri di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Belanjawan itu mula dibahaskan sejak Selasa, dengan Wan Rosdy dijangka menggulung perbahasan tersebut hari ini, sebelum diluluskan.

Pada Selasa, Wan Rosdy memaklumkan media bahawa beliau masih menanti tarikh untuk menghadap Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi mendapat perkenan baginda membubarkan DUN Pahang.

Sebelum ini, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata DUN di bawah pentadbiran BN kecuali Melaka, Johor dan Sabah akan dibubarkan serentak dengan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pada PRU14, BN menang 25 daripada 42 DUN, manakala Pakatan Harapan (sembilan) dan PAS (lapan). – BERNAMA

- Advertisement -