Aliran trafik dijangka meningkat 1.9 juta kenderaan sehari

- Advertisement -

PETALING JAYA: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan kira-kira 1.9 juta kenderaan akan menggunakan lebuh raya kendaliannya setiap hari bermula Jumaat (7 Okt) hingga Isnin (10 Okt) ini, berikutan cuti sambutan Maulidur Rasul pada Ahad (9 Jun). 

- Advertisement -

Jumlah tersebut merupakan lonjakan daripada 1.7 juta kenderaan sehari pada hari-hari biasa dan PLUS sehubungan itu, menggesa pelanggan merancang perjalanan mereka bagi menghadapi kemungkinan berlakunya kesesakan dan memanjangkan tempoh perjalanan mereka.

Ketua Kecemerlangan Operasi PLUS, Mohd Yusuf Abdul Aziz berkata bahawa sejak beralih ke fasa endemik, PLUS telah merekodkan jumlah trafik harian sepertimana tempoh pra-pandemik iaitu 1.7 juta kenderaan setiap hari pada hari-hari biasa. 

“Pada ketika ini, jumlah tersebut melonjak kepada 1.9 juta kenderaan pada hujung minggu dan kami menjangkakan ia berterusan ketika cuti hujung minggu ini dan cuti sambutan Maulidur Rasul, yang mana pengguna lebuh raya akan mengambil kesempatan cuti selama tiga hari. 

“Oleh itu, kami menasihatkan supaya orang ramai yang ingin menggunakan lebuh raya pada hujung minggu ini supaya membuat persediaan dan memastikan kenderaan mereka berada di dalam keadaan yang baik bagi menghadapi kemungkinan berlakunya kesesakan akibat lonjakan trafik tersebut,” ujarnya.

Tambah beliau, sebelum memasuki lebuh raya, orang ramai dinasihatkan untuk menambah nilai kad Touch ‘n Go dan e-Wallet (bagi mereka yang menggunakan RFID) dan memastikannya sentiasa mempunyai baki yang mencukupi dan tambah nilai sebelum memulakan perjalanan untuk mengelakkan kesulitan ketika keluar di plaza tol.

“Dengan memuat turun Aplikasi PLUS, pengguna lebuh raya boleh merancang perjalanan dan mendapatkan maklumat trafik terkini di lebuh raya. 

“Sebagai alternatif, orang ramai boleh mengikuti laporan trafik menerusi Twitter @PLUSTrafik, talian PLUSLine 1800-88-0000, Chatbot PUTRI serta papan tanda elektronik (VMS) di lokasi-lokasi terpilih,  dan pelanggan juga disaran menggunakan Aplikasi Waze atau Google Map,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/10/2022

- Advertisement -