Pastikan pegawai penguatkuasa alam sekitar cukup

Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman
- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KUALA LUMPUR: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) disaran memastikan agensi penguatkuasaan alam sekitar memiliki jumlah pegawai yang mencukupi.

Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman, berkata memandangkan keadaan muka bumi Malaysia yang luas, jumlah pegawai yang mencukupi adalah penting untuk memudahkan agensi berkenaan dapat menjalankan tanggungjawab dengan baik.

- Advertisement -

Beliau turut meminta penjelasan sama ada KASA menjalinkan kerjasama dengan pihak lain dalam usaha pemantauan kes melibatkan alam sekitar.

“Adakah KASA turut mengambil inisiatif menjalinkan kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT), polis dan agensi lain bagi pemantauan kawasan alam sekitar?

“Selain itu, jika diberi ruang kuasa kepada PBT, saya percaya PBT lebih dekat dengan situasi atau segala operasi melibatkan pencemaran alam sekitar,” katanya semasa membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Kualiti Alam Sekitar (Pindaan) 2022. di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengambil contoh di Sweden, kata Ahmad Tarmizi, Kementerian Alam Sekitar negara itu menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Kewangan mereka untuk mengenakan cukai karbon yang dilaksanakan sejak 1991.

Katanya, Sweden mengenakan cukai karbon sejak 1991 dengan kadar 25 Euro bagi setiap tan karbon dioksida fosil yang dikeluarkan indusrti dengan kadar itu dinaikkan secara beransur-ansur.

“Dalam konteks Malaysia, adakah KASA turut melihat usaha ini bersama dengan Kementerian Kewangan bagi memperkenalkan cukai bahan buangan industri bagi sisa-sisa pembuangan yang dilepaskan ke udara?” katanya. – HARAKAHDAILY 5/10/2022

- Advertisement -