Sekat ‘konsert melampau’ kekang budaya hedonisme

Dato' Ustazah Siti Ashah Ghazali
- Advertisement -

Oleh: SARINA ISMAIL

ALOR SETAR: Budaya Hedonisme bukan sahaja menjadi racun kepada pembentukan generasi muda malah mengundang pelbagai gejala negatif di luar batasan tata susila agama dan masyarakat timur.

- Advertisement -

Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Kedah, Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali berkata, keputusan segera Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyekat konsert Muda Mudi Weekend Fest merupakan satu langkah yang tepat untuk mengekang serta membendung budaya berkenaan dari terus merebak. 

“Dewan Muslimat PAS Negeri Kedah menyokong penuh keputusan Menteri Besar, semalam iaitu tidak membenarkan Muda Mudi Weekend Fest yang melibatkan konsert hiburan seluruh Kedah yang boleh mencetuskan kelakuan melampau di luar batasan tatasusila masyarakat timur dan agama Islam,” jelasnya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, larangan yang berkuatkuasa serta merta itu bukanlah bermakna kerajaan negeri menyekat atau menafikan hak berhibur tetapi ia sebagai jalan terbaik untuk mengelak budaya hedonisme hidup subur di negeri ini. 

Mengulas lanjut,  Ashah yang juga Exco Kerajaan Negeri Kedah berkeyakinan keputusan itu disambut baik oleh ibubapa kerana ia menjamin keharmonian masyarakat khususnya melibatkan anak-anak muda. 

“Generasi muda sewajarnya didedahkan dengan budaya  positif yang sejajar dengan kehendak agama bersesuaian sebagai pemimpin masa hadapan yang perlu dididik dengan acuan yang betul. 

“Rosaknya (akhlak) anak-anak muda di masa kini boleh memberi gambaran kepincangan negara yang bakal dihadapi nanti. 

“Masih banyak lagi hiburan atau aktiviti lain boleh diketengahkan kepada anak-anak yang boleh menghindari budaya atau perlakuan tidak sihat seperti penganjuran Kedah Motor Fest, Fun Ride serta lain-lain lagi,” tambah beliau. 

Dalam masa yang sama, beliau turut melahirkan rasa kesal dengan penganjuran konsert Muda Mudi Weekend Fest yang diadakan di Balai Seni, Alor Setar, 1 Oktober lalu, yang  jelas menyimpang dari norma serta adab budaya agama dan masyarakat Malaysia. 

“Tindakan segera yang diambil oleh kerajaan negeri itu patut dipuji serta disambut baik oleh rakyat Kedah khususnya dan Malaysia amnya. 

“Semoga dengan ketetapan itu dapat mendidik rakyat negeri ini ke arah lebih baik serta tidak tersasar dari ‘SOP’ yang ditentukan Allah SWT,” tegas beliau.

Dalam pada itu, keputusan tidak membenarkan konsert hiburan melampau Muda Mudi Weekend Fest di Kedah turut mendapat perhatian Dewan Ulama PAS Kedah.

Ketuanya, Sheikh Mohamad Rodi Abdul Rahman berkata, keputusan itu selaras dengan tuntutan Islam yang menekankan aspek spiritualiti dan pembangunan rohani serta budaya melampui batas.

“Islam adalah agama pertengahan yang amat menekankan aspek spiritualiti dan pembangunan rohani, tapi pada masa sama membenarkan penganutnya berhibur dan berseronok, selagi mana ia tidak melampaui batas-batas syarak,” ujar beliau kepada HarakahDaily, di sini, hari ini. 

Sheikh Mohamad Rodi Abdul Rahman

Menurutnya lagi, pihaknya berbangga dengan ketegasan Menteri Besar ekoran perbuatan anak-anak muda yang terkinja-kinja tidak tentu arah pada konsert Muda Mudi Weekend Fest, 1 Oktober lalu yang jelas melampaui batas akhlak dan syariat Islam.

“Kita juga mengharapkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pejabat agama meneliti setiap permohonan serta membuat pemantauan dan tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap penganjur sekiranya terdapat pelanggaran syarat-syarat yang telah diberikan supaya perkara sebegini tidak akan berulang lagi di masa akan datang,” tambah beliau.

Justeru, Mohamad menyarankan insiden 1 Oktober lalu  disiasat untuk memastikan  samada terdapat unsur sabotaj daripada pihak-pihak tertentu yang sengaja ingin memburukkan imej kerajaan negeri yang sangat berjaya buat masa kini. 

Beliau tidak menolak ada pihak yang sangat mencemburui kejayaan yang dicapai Kedah sejak negeri itu ditadbir Sanusi bahkan Nabi Muhammad SAW juga ada bersabda: “Sesungguhnya setiap yang mendapat kenikmatan pasti ada pendengkinya”. – HARAKAHDAILY 4/10/2022

- Advertisement -