Malaysia tidak berhadapan krisis ekonomi

Menteri Kewangan, Datuk Seri Utama Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz
- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Walaupun dilanda beberapa cabaran ekonomi akibat faktor luaran yang di luar kawalan kerajaan, Malaysia tidak berhadapan atau menuju ke arah sebarang krisis ekonomi atau kewangan.

Menteri Kewangan, Senator Datuk Seri Utama Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata keadaan ekonomi negara sekarang amat jauh berbeza berbanding krisis ekonomi sebelum ini berikutan asas-asas ekonomi dan sistem kewangan yang kini jauh berbeza.

- Advertisement -

Menurutnya, Krisis Kewangan Asia 1997/98 menyebabkan negara melaksanakan pelbagai pembaharuan ekonomi dan kewangan seperti struktur ekonomi domestik yang lebih pelbagai, disokong oleh sistem kewangan yang bemodal baik dan kedudukan luaran yang kukuh.

Sebagai contoh, katanya pasaran kewangan negara sekarang sangat terbuka dengan penyertaan pelabur asing yang tinggi dan negara mempunyai lebihan akaun semasa, didorong oleh eksport yang pelbagai.

“Setakat tahun ini, akaun semasa kekal positif dengan jumlah RM3 bilion pada suku pertama dan RM4.4 bilion pada suku kedua.

“Oleh itu, walaupun kini kita dilanda beberapa cabaran yang berpunca daripada faktor luaran yang berada di luar kawalan kerajaan, saya ingin menegaskan bahawa negara kita tidak berhadapan atau menuju ke arah sebarang krisis ekonomi atau kewangan,” katanya ketika menjawab soalan lisan Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) di Dewan Rakyat, hari ini.

Tengku Zafrul berkata, definisi sebenar krisis ekonomi bagi sesebuah negara adalah apabila pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) merudum, pengangguran mencanak naik, perniagaan tutup lalu mengakibatkan hutang lapuk yang tinggi sehingga mengakibatkan kesan buruk kepada bank-bank.

Menurutnya, keadaan ini pernah berlaku ketika negara mengalami Krisis Kewangan Asia dan yang terbaharu, ketika dilanda pandemik Covid-19.

“Ketika Krisis Kewangan Asia, ekonomi menguncup sebanyak -7.4 peratus, manakala ketika Krisis Kewangan global, KDNK menguncup -1.5 peratus dan terkini ketika puncak Krisis Covid-19, menguncup -5.5 peratus

“Saya juga ingin menekankan bahawa Krisis Kewangan Asia 1997/98 juga disifatkan sebagai antara krisis ekonomi terburuk yang pernah Malaysia hadapi sehingga kini,” katanya.

Beliau berkata, ketika itu matawang negara jatuh hampir 54 peratus pada tahun 1997 dengan kadar terendah sehingga RM4.88 bagi setiap AS$1.

Katanya, pasaran saham negara juga terkesan dengan begitu teruk apabila indeks pasaran saham ketika itu (KLSE) menurun lebih 800 mata dalam masa singkat (dua bulan), iaitu dari 1,077 mata pada Jun 1997 kepada 262.7 mata pada September 1997.

“Negara juga mengalami defisit akaun semasa pada tahun 1997 dengan kekurangan melebihi RM16.7 bilion. Pada akhir 1997, Bank Negara meningkatkan kadar faedah kepada 11 peratus untuk menangani penurunan Ringgit dan mengawal inflasi, serta mengekalkan tahap kadar faedah pada 7 peratus menjelang hujung 1998,” katanya.

Menurutnya, sepanjang krisis itu, lebih 102,000 rakyat kehilangan pekerjaan, manakala kadar inflasi melonjak kepada 6.2 peratus pada Jun 1998 sebelum menyederhana kepada 5.3 peratus pada penghujung tahun itu. – HARAKAHDAILY 4/10/22

- Advertisement -