Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN
KUALA LUMPUR: Seramai 261 orang rakyat Malaysia yang menjadi mangsa penipuan sindiket pekerjaan di Kemboja, Laos, Myanmar dan Thailand, berjaya diselamatkan setakat 1 Oktober lalu.
Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, berkata daripada jumlah itu, 171 orang dibawa pulang ke Malaysia, manakala 90 orang lain sedang menunggu proses penghantaran pulang.
Menurutnya, semua aduan yang Kementerian Luar Negeri terima daripada pihak waris akan disalurkan terus kepada Perwakilan Malaysia di negara berkenaan untuk tindakan selanjutnya dengan pihak berkuasa negara tuan rumah.
Pada masa sama, katanya proses itu tertakluk kepada prosedur dan undang-undang negara berkenaan yang melibatkan urusan seperti siasatan, intipan, usaha menyelamat, dokumentasi dan sebagainya yang akan mengambil masa.
“Perwakilan Malaysia yang terlibat akan bekerjasama dengan pihak berkuasa negara tuan rumah untuk mengesan dan menyelamatkan semua mangsa yang masih berada dalam kawalan sindiket terbabit.
“Tindakan Perwakilan Malaysia termasuk mendapatkan bantuan dan kerjasama kerajaan negara berkenaan, mengadakan pertemuan dengan pihak berkuasa yang terlibat bagi mengesan serta menyelamat mangsa dan memberikan bantuan konsular sewajarnya bagi membolehkan mereka pulang ke tanah air dengan selamat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Dato’ Mohd Fasiah Mohd Fakeh (PN-Sabak Bernam) di Dewan Rakyat, hari ini.
Saifuddin berkata, Mesyuarat Kabinet pada 21 September lalu juga mengarahkan penubuhan Jawatankuasa Khas melibatkan pelbagai agensi berkaitan dan diketuai oleh Kementerian Luar Negeri bagi menangani isu ini secara menyeluruh.
Katanya, mesyuarat penyelarasan pertama Jawatankuasa Khas diadakan pada 27 September lalu yang memutuskan beberapa tindakan.
“Ini termasuk Kementerian Luar Negeri mengadakan pertemuan dengan Ketua Perwakilan Kemboja, Laos, Myanmar dan Thailand pada 30 September lalu yang bertujuan memaklumkan pendirian kerajaan yang memandang serius isu ini.
“Ketua Perwakilan juga diminta mendapatkan kerjasama negara yang terlibat bagi mengesan serta menyelamatkan warga Malaysia yang menjadi mangsa,” katanya.
Saifuddin berkata, Ketua Perwakilan juga diarahkan untuk lebih proaktif dan menggiatkan usaha untuk menyelesaikan isu ini secara cepat dan tuntas dengan kerjasama pihak berkuasa negara tuan rumah;
Sementara itu, katanya Kementerian Luar Negeri dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyelaraskan usaha bagi membolehkan kerjasama lebih rapat antara PDRM dan pihak berkuasa negara berkenaan melalui pertemuan khusus bagi menangani isu ini.
Katanya, Kementerian Luar Negeri juga mengadakan perbincangan dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) untuk menyediakan pelan komunikasi yang lebih komprehensif bagi memberikan pendedahan dan kesedaran kepada orang ramai serta golongan sasaran supaya tidak mudah terjebak dalam sindiket ini.
Selain itu, katanya Kementerian Luar Negeri melalui pelbagai platform menasihat individu atau waris yang menjadi mangsa untuk membuat laporan polis bagi membantu siasatan.
“Mereka yang menerima tawaran pekerjaan di luar negara perlu menyemak tawaran tersebut terlebih dahulu dengan Perwakilan Malaysia yang berkenaan jika ragu-ragu dengan tawaran yang diterima. Mereka juga perlu memastikan visa pekerjaan diperolehi terlebih dahulu sebelum melakukan perjalanan ke luar negara untuk bekerja.
“Perjalanan keluar masuk ke sesebuah negara perlu menggunakan Pasport Malaysia Antarabangsa dengan melalui pintu sempadan antarabangsa secara sah,” katanya.
Beliau berkata, surat tawaran dan kontrak pekerjaan juga perlu difahami dan dimeterai secara bertulis mengikut undang-undang buruh negara tersebut, manakala mereka yang bekerja di luar negara dinasihatkan supaya turut cakna dengan undang-undang di negara berkenaan. – HARAKAHDAILY 4/10/22