Pindaan kanun keseksaan bendung jenayah hendap di media sosial

- Advertisement -

SAYA menyambut baik usaha kerajaan bagi mengklasifikasikan perbuatan menghendap sebagai satu kesalahan di sisi undang-undang. Penguatkuasaan undang-undang ini melalui pindaan Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 2022 bukan sahaja tepat pada masanya malah ia selari dengan tuntutan syariah yang melarang umatnya menghendap.

Sebagai mana firman Allah taala dalam surah al-Hujurat ayat 12:

- Advertisement -

يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوا اجْتَنِبُوْا كَثِيْرًا مِّنَ الظَّنِّۖ اِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ اِثْمٌ وَّلَا تَجَسَّسُوْا وَلَا يَغْتَبْ بَّعْضُكُمْ بَعْضًاۗ

“Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan sangkaan, kerana sebahagian dari sangkaan itu dosa. Dan janganlah kamu mengintip dan janganlah mengumpat satu sama lain.

Tambahan pula, perbuatan menghendap mahupun mengintip turut merangkumi perbuatan mengganggu melalui pelbagai medium seperti telekomunikasi, sosial media dan sebagainya. Ia sekali gus memberi kesan psikologi terhadap emosi mangsa bahkan menimbulkan suasana yang tidak selamat dalam kalangan masyarakat terutama golongan wanita. 

Walaupun begitu, Saya mencadangkan agar kerajaan mewujudkan garis panduan yang jelas bagi membezakan aktiviti menghendap yang mendorong perlakuan jenayah dengan pembuktian apa-apa perlakuan jenayah syariah yang dilaporkan seperti pensabitan khalwat, minum arak dan sebagainya. Hal ini bagi memastikan rakyat tidak keliru dan menyalahgunakan istilah tersebut.

Justeru, saya sekali lagi menyatakan sokongan terhadap pindaan ini agar keharmonian serta keselamatan rakyat lebih terjamin terutama di media sosial namun pada masa yang sama saya mencadangkan agar istilah ini diperincikan dengan lebih spesifik bagi mengelakkan berlakunya kekeliruan dalam masyarakat.

“Malaysia Sejahtera”

YB SHAHARIZUKIRNAIN ABDUL KADIR
Ahli Parlimen Setiu – HARAKAHDAILY 4/10/2022

- Advertisement -