Bajet 2023: Tingkatkan perolehan aset ketenteraan

- Advertisement -

KERAJAAN melalui Kementerian Pertahanan disarankan untuk memberi perhatian khusus berkaitan pembangunan aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang melibatkan operasi ketenteraan di darat, laut dan udara demi memastikan kedaulatan dan keselamatan negara terpelihara. 

- Advertisement -

Umum mengetahui, banyak peralatan mahupun aset ATM yang lama, uzur dan terhad . Ia merupakan satu cabaran yang serius dan besar dalam negara berhadapan dengan pelbagai situasi di luar jangka. Bahkan, aset pertahanan yang sedia ada tidak mencukupi dan terbatas untuk menangkis segala serangan luar sama ada berskala kecil atau berskala besar mahupun menangani pencerobohan perairan.

Isu ini tidak dinafikan oleh Panglima Tentera Laut sendiri yang menegaskan bahawa tahap kesiapsiagaan ketenteraan memerlukan masa yang lama untuk dipertingkatkan ke tahap yang lebih tinggi dan tidak boleh disiapkan dalam masa yang singkat.

Kerajaan sewajarnya mempertingkatkan bajet aset pertahanan bagi tahun 2023 dalam memastikan segala aset-aset ATM berfungsi dengan baik, mengikut peredaran teknologi terkini dan kesiapsiagaan untuk melaksanakan sebarang operasi dan latihan. 

Oleh itu, dalam pembentangan Bajet 2023 pada 7 Oktober nanti, saya mencadangkan Kerajaan berusaha meningkatkan perolehan aset-aset ketenteraan yang baharu di samping memastikan kebajikan anggota Angkatan Tentera Malaysia terus terjaga. 

“Malaysia Sejahtera”

YB SENATOR DATO’ HAJI HUSAIN AWANG
Ahli Dewan Negara – HARAKAHDAILY 3/10/2022

- Advertisement -