Larangan MP tukar parti dikuat kuasa sebelum PRU15

KUALA LUMPUR: Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengenai peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti akan dikuatkuasakan dalam masa terdekat, sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen Dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata akta yang telah menerima perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah itu masih tiada tarikh khusus bagi dikuat kuasa ketika ini.

Advertisement

“Ia (kuat kuasa akta) akan berlaku sebelum itu (PRU15). Jadi, semua perlu bersabar dan saya akan tampil sekali lagi (untuk maklumkan mengenai perkara itu) dalam masa terdekat,” katanya ketika ditanya pemberita sama ada akta berkenaan akan dilaksanakan atau tidak sekiranya Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat, di Bangunan Parlimen hari ini.

Terdahulu, Dewan Rakyat hari ini dimaklumkan Al-Sultan Abdullah memperkenankan 14 akta termasuk Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 itu yang diluluskan pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-14 lepas.

Sementara itu, Wan Junaidi berkata Bajet 2023 tetap akan dibentangkan Jumaat ini seperti yang dijadualkan susulan spekulasi pembubaran Parlimen dalam masa terdekat. – BERNAMA