PAS rangka pelan perdamaian Umno-Bersatu

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
PAS tidak mahu perbalahan antara Umno dengan Bersatu dibiarkan berterusan kerana ia akan merugikan sokongan orang Islam dan Melayu di negara ini.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang parti tersebut perlu merangka strategi bagi menyekat kemaraan Pakatan Harapan (PH).

Katanya walaupun Umno dan Bersatu tidak boleh duduk bersama, namun pelan perdamaian perlu dirangka secara berhemah dan bijaksana agar ia tidak merugikan kedua-dua belah pihak.

- Advertisement -

“Kita akan bertindak sebagai pendamai antara parti ini, Umno negeri-negeri pun umum nak lawan dalam pilihan raya nanti, boleh nak lawan menjadi asam garam politik.

“Cuma kita tidak mahu kata pepatah iaitu menang jadi abu dan kalah jadi arang, kita nak berlawan biar cerdik, bijak, kita berlawan untuk capai kemenangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada ceramah pra sambutan 32 tahun PAS mentadbir Kelantan di di sini malam tadi.

Hadir sama Yang Dipertua PAS Kubang Kerian Abdul Rahman Yunus; Timbalannya, Dato’ Mumtaz Mad Nawi, Ketua Penerangan Saiful Adli Abu Bakar dan Setiausaha PAS kawasan, Mohd Nuri Mat Yaakob.

Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, PAS tidak akan berhenti daripada melaungkan bagi agenda penyatuan ummah sebagai persediaan menghadapi pilihan raya.

Meskipun PAS sudah didaftarkan salah satu parti dalam Perikatan Nasional kata beliau, beberapa siri pilihan raya kecil sebelum ini pun parti itu pernah menggunakan lambang PN.

Oleh itu katanya Umno dalam Barisan Nasional dan PAS bersama PN tidak boleh bertembung sesama sendiri khususnya dalam 27 kerusi parlimen yang dilihat memberi laluan mudah kepada PH.

“Selepas pilihan raya lalu menyaksikan kerajaan PH tumbang selepas wakil rakyat Bersatu keluar kerajaan, kita pakat tolong Umno sebab bagi kita musuh utama ialah PH, tidak mahu PH menang lagi.

“Tak kan kita menang nak tolak bersatu tak kena, kita berkawan begitu, PAS dan Umno dalam kerajaan sekarang kerana jasa Bersatu, kalau Bersatu tidak keluar kita masih kekal sebagai pembangkang,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/9/2022

- Advertisement -