Istiqamah berpaut pada gagasan Penyatuan Ummah

- Advertisement -

DEWAN Ulamak PAS Pusat menyarankan semua pihak termasuk kalangan anggota dan pimpinan parti supaya menggenggam erat gagasan Penyatuan Ummah sebagai suatu pendekatan terbaik kepada kestabilan politik di negara ini. 

Fasa menyimpul semula tali persahabatan ini sememangnya kritikal, ada turun naiknya dan berhadapan pelbagai mehnah dan tribulasi. Namun, kita seharusnya menerima perkara ini sebagai suatu lumrah biasa dalam berpolitik. 

Dewan Ulamak PAS Pusat kekal memberikan sokongan kepada usaha kepimpinan parti untuk bersedia berbincang dengan kedua-dua belah pihak sama ada BERSATU mahupun Umno.

Langkah ini adalah sebahagian daripada teras utama ke arah merealisasikan gagasan penyatuan yang sedang kita kendong bersama. Tanpa gabungan ini nescaya tidak bermakna Penyatuan Ummah yang digagaskan.

Hasrat besar ini merupakan satu daripada manifestasi perintah Allah S.W.T kepada umat Islam secara khususnya selaras dengan apa yang diucapkan oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin tempoh hari. Justeru, prinsip ketaatan dalam jemaah perlu dipasakkan meskipun ketika berdepan situasi sukar mahupun senang. 

Sewajarnya kita terus memainkan peranan sebagai ejen Penyatuan Ummah yang telah menjadi medan utama PAS di lapangan siasah sejak kerosakan pemerintahan negara yang dicipta Pakatan Harapan (PH). 

Tali ikatan kesatuan ummah tidak seharusnya dirungkai setelah PH rebah sebagai Kerajaan, bahkan ia perlu terus diikat kemas mendepani cabaran yang lebih mencabar. 

Dewan Ulamak PAS Pusat menyeru ahli dan para pimpinan parti agar sentiasa berlapang dada dengan langkah yang telah diatur oleh barisan kepimpinan tertinggi. Segala percaturan khususnya mendepani pilihan raya telah mempertimbangkan banyak agenda besar kepada ummah dan masa depan negara.

Amat malang sekiranya hari ini masih ada segelintir daripada kita yang mahu menjadi gunting yang memisahkan berbanding menjadi jarum yang menyatukan. Semoga Allah S.W.T. memberikan thabat dan ribat di atas jalan Penyatuan Ummah ini insya-Allah.

YB SENATOR USTAZ DATO’ AHMAD YAHYA
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat – HARAKAHDAILY 27/9/2022

- Advertisement -
- Advertisement -