Cabaran 7 juta Undi18 kepada semua parti politik

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS berpendirian bersama Perikatan Nasional (PN), namun membuka seluas-luasnya pintu Muafakat Nasional (MN) dengan semua parti yang tidak mahu kepada Pakatan Harapan (PH) dan agenda ‘Khemah Besar’ mereka. 

Ketua Penerangan PAS, Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin berkata, malah PAS membuka untuk bersama NGO dan NGI yang sedia bekerjasama berdasarkan teras keadilan Islam, untuk memelihara institusi raja-raja serta hak rakyat. 

Tegas beliau, perkara tersebut adalah selari dengan peruntukan yang sedia wujud di dalam Perlembagaan Persekutuan dan PAS akan terus mengusahakan agenda tersebut untuk memastikan berlakunya penyatuan dihasratkan tersebut. 

“Maksudnya, kita masih lagi terbuka dan kita pun tidak tahu bila tarikh pilihan raya. Jadi selagi mana kita tidak dapat lagi ketentuan yang sampai ke dinding kita katakan paling mudah, selagi itu PAS akan terus berusaha untuk menyatukan ummah ini untuk memastikan satu lawan satu dengan PH dalam PRU ke 15,” ujarnya. 

Beliau berkata demikian dalam siaran langsung rancangan Bual Bicara di Bernama TV bersama hos, Sherkawi Jirim membicarakan tajuk “PAS berakidah bukan berideologi?” di stesen media itu, di sini semalam. 

Akui beliau, jika kerjasama dihasratkan itu tidak menjadi kenyataan, maka pertembungan tiga penjuru bakal berlaku boleh mengulangi keputusan PRU14 yang dimenangi PH, apatah lagi tiada parti boleh mendabik dada menguasai 7 juta pengundi baharu. 

“Jadi apa yang perlu dilaksanakan ialah kita mesti berusaha untuk menyatukan antara PAS, Umno dan juga BERSATU dan juga parti-parti Melayu lain yang mahu bersama dengan kita yang menolak PH, DAP dan juga ‘Khemah Besar’. 

“Dan kita harapkan perkara itu boleh menjadi kenyataan dan kita menjemput juga rakan-rakan daripada NGO NGI untuk bersama dengan kita. Insya-Allah banyak kerusi yang boleh barangkali kita boleh berbincang.  

“Pada saya isu asasnya bagaimana kita nak menerima kesamaan di antara kita. Menolak perbezaan kerana kita tahu kemudaratan yang lebih besar, mimpi ngeri yang lebih besar sekiranya PH sekali lagi memerintah negara,” jelas beliau. 

Menurutnya, Undi18 adalah cabaran kepada semua parti politik dengan variasi latar belakang serta geografi kependudukan pengundi golongan tersebut di mana perlu didekati, selain peranan di media sosial. 

“Di peringkat PAS kita berusaha untuk mengambil semua strategi yang sedia ada sama ada anak muda yang berada di bandar, semi bandar mahupun di kawasan luar bandar.  

“Kita cuba untuk engage dengan mereka dengan pendekatan-pendekatan yang saya yakin pendekatan yang sama juga diamalkan oleh parti-parti lain. Bezanya kita tak boleh berteraskan kepada politik kotor, politik fitnah, politik tohmah. 

“Kerana kalau itu yang kita ajar kepada generasi muda ini, bayangkan mereka akan menjadi pemimpin akan datang. Inilah kerosakan yang akan kita laksanakan sekiranya kita mengambil pendekatan politik tanpa agama,” ujar beliau berharap perpecahan undi tidak berlaku. – HARAKAHDAILY 22/9/2022

- Advertisement -
- Advertisement -