Angelina Jolie redah lokasi kematian di Pakistan

Angelina Jolie bersama mangsa banjir di Dadu, Pakistan pada 21 Sept 2022. (FOTO: unhcr.org)
- Advertisement -

Susunan YUSMAN AWANG

ISLAMABAD: Utusan khas kepada Pesuruhjaya Tinggi  Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Angelina Jolie sanggup menempuh bahaya dengan mengunjungi Dadu di Pakistan, antara lokasi paling teruk dilanda banjir yang telah menenggelamkan satu pertiga kawasan di negara Islam itu.

- Advertisement -

Dadu merupakan sebuah bandar dan ibu kota daerah Dadu yang terletak di wilayah Sindh, Pakistan, terletak di tebing barat Sungai Indus dengan populasi 171,191 itu antara lokasi paling teruk ditenggelami limpahan sungai tersebut.

Sebanyak 300 kematian direkodkan dalam kalangan mangsa yang terselamat daripada bencana banjir tetapi akhirnya kini terkorban akibat penyakit bawaan air banjir pula.

Pelakon terkenal Holllywood ini terpanggil untuk kembali ke Pakistan kali ini susulan terharu dengan kemurahan hati rakyat Pakistan yang sebelum ini banyak membantu pelarian Afghanistan di negara itu. (FOTO: Flickr.com)

Semasa lawatannya ke Pusat Penyelarasan Tindak Balas Banjir Kebangsaan (NFRCC) di Dadu lewat Rabu (21 Sept), Jolie, 47, yang memakai hijab berkata bahawa sebelum ini dia tidak pernah melihat bencana seperti yang telah berlaku di Pakistan, lapor independent.co.uk

“Sudah banyak kali saya datang ke sini (Pakistan) atas kemurahan hati yang ditunjukkan rakyat Pakistan terhadap rakyat Afghanistan selama ini sebagai negara tuan rumah kepada kesengsaraan pelarian Afghanistan,” ujarnya.

Jolie tiba di Pakistan pada Selasa (20 Sept) untuk membantu penduduk yang terjejas akibat bencana banjir di negara itu dan melawat kawasan berbeza mangsa yang terjejas.

“Saya benar-benar bersama anda (rakyat Pakistan) dalam mendorong masyarakat antarabangsa untuk menyalurkan lebih banyak bantuan,” tambahnya.

Mangsa banjir di Pakistan kini sangat terdedah kepada penyakit bawaan air banjir, selain amat memerlukan bantuan kemanusiaan daripada masyarakat global. (FOTO: voanews)

Pelakon terkenal Hollywood itu memberi amaran bahawa bencana banjir di Pakistan adalah peringatan sebenar kepada dunia bahawa perubahan iklim bukan sahaja nyata, dan ia bukan sahaja akan muncul tetapi impaknya akan semakin banyak berlaku di seluruh dunia.

“Sekarang kami berada dalam situasi seperti ini, yang mana keperluan terhadap bantuan kemanusiaan adalah sangat besar,” kata Jolie, sambil menambah bahawa beliau melihat orang ramai di kawasan terjejas akibat banjir dalam keadaan di mana mereka memerlukan bantuan segera, bagi mengelakkan kematian impak susulan bencana itu.

Dengan tujuh lagi kematian, mangsa kematian akibat banjir di Pakistan kini telah meningkat kepada 1,576 akibat kemalangan berkaitan banjir di seluruh negara sejak pertengahan Jun,  menurut data terkini Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Negara Pakistan.

Sudah banyak kali Angelina Jolie mengunjungi Pakistan, cuma kali ini adalah selepas negara ini dilanda musibah yang tidak penah dlihat berlaku sebelum ini di situ. (FOTO AFP)

Setakat ini, lebih dua juta rumah telah mengalami kerosakan, dengan 803,400 rumah musnah sepenuhnya dan 1.21 juta rumah rosak sebahagiannya. Lebih satu juta ternakan terkorban di seluruh negara Asia Selatan itu.

Banjir menjejaskan lebih 33 juta penduduk Pakistan di 81 daerah di seluruh negara dan beribu-ribu daripada mereka kini berlindung di dalam khemah, lapor Reuters pula.

Musim tengkujuh di Pakistan, seperti di negara lain di rantau ini, biasanya mengakibatkan hujan lebat, tetapi tahun ini adalah yang paling teruk melanda sejak 1961.

Pada masa ini, satu pertiga daripada negara itu masih digenangi air banjir kerana akibat hujan lebat dan glasier yang mencair yang telah menyebabkan Sungai Indus melimpah, dan membanjiri kawasan dataran dan ladang yang luas di penempatan padat penduduk.

Satu pertiga daripada kawasan di Pakistan kini masih digenangi air banjir. (FOTO:AFP?Getty Images)

Hujan dan banjir juga telah menghanyutkan 13,093 kilometer (8,135 batu) jalan raya, 392 jambatan dan bangunan di seluruh Pakistan, yang ketika itu sedang bergelut dengan kegawatan politik dan ekonomi.

Lebih 33 juta daripada kira-kira 220 juta penduduk negara itu terjejas oleh banjir yang melanda telah menyebabkan kerugian lebih daripada AS$30 bilion akibat kerosakan kepada infrastruktur di negara itu.

Hampir 45 peratus daripada tanah pertanian negara juga telah ditenggelami oleh banjir, menimbulkan ancaman serius kepada keselamatan kesihatan dan kekurangan makanan, serta  menambahkan lagi inflasi yang sudah meroket di negara itu sebelum ini.

Setakat ini, Pakistan telah menerima 119 penerbangan bantuan kemanusiaan dari Türkiye, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), China, Rusia, Amerika Syarikat, United Kingdom, Uzbekistan, Perancis, Arab Saudi, Jordan, Oman, Nepal, Turkmenistan, Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF), Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), dan Program Makanan Sedunia (WFP) PBB. – HARAKAHDAILY 22/9/2022

- Advertisement -