Perang menentang keganasan senjata makan tuan

Negara-negara yang mempunyai operasi ketenteraan utama Amerika Syarikat dan NATO di dalamnya semasa kempen “War on Terrorism” global sejak 2001.
- Advertisement -

11 SEPTEMBER 2022, sudah 21 tahun peristiwa hitam yang merubah landskap geopolitik dunia berlaku khususnya apabila Amerika Syarikat mengisytiharkan kempen “War on Terrorism” atau Perang Menentang Keganasan sejurus selepas berlaku peristiwa serangan ke atas World Trade Center, New York pada 9.11.2001.

George W. Bush, bekas Presiden Amerika Syarikat ketika itu secara langsung menuduh Osama bin Laden dan kumpulan Al-Qaeda yang diketuainya bertanggungjawab ke atas serangan tersebut.

- Advertisement -

Amerika Syarikat tidak mengambil masa yang lama untuk bertindakbalas. Sebulan selepas peristiwa 9/11, serangan ke atas Afghanistan dilancarkan yang menjadi negara persembunyian Osama bin Laden dengan perlindungan dari Taliban yang memerintah Afghanistan pada ketika itu.

Akhirnya Kabul jatuh ke tangan Amerika Syarikat dan sekutunya. Namun begitu, Taliban terus menghantui Amerika Syarikat walaupun Osama bin Laden telah dibunuh dan kumpulan Al-Qaeda dihancurkan. Perang di Afghanistan menjadi perang paling lama dalam sejarah Amerika Syarikat dan pada ketika ini Amerika Syarikat secara rasmi telah berundur dari Afghanistan yang disifatkan sebagai kekalahan paling memalukan dalam sejarah negara tersebut.

Kemudian, Iraq pula diserang dengan alasan kononnya Osama bin Laden mempunyai hubungan dengan Saddam Hussein yang mengancam keselamatan Amerika Syarikat dengan menghasilkan apa yang didakwa sebagai “Weapon of Mass Destruction“ ( WMD ) yang mana akhirnya terbukti dakwaan ini adalah bohong sama sekali.

Seluruh dunia mempercayainya dan mula memencilkan Iraq. Iraq “diratah” dalam kempen serangan yang bermula pada 21 Mac 2003 sehingga mengorbankan ratusan ribu nyawa yang tidak berdosa dan sehingga ke hari ini, Iraq masih lagi bergelut dengan konflik berdarah yang tidak berkesudahan.

Selepas daripada itu, landskap geopolitik dunia telah berubah. Perang menentang keganasan akhirnya bertukar menjadi perang menentang Islam disebabkan Osama bin Laden adalah seorang Muslim. Seluruh Dunia Islam dan umat Islam menghadapi ancaman dan serangan dari setiap sudut sehingga ke hari ini.

Adakah ianya berlaku dengan sengaja atau tidak, masing-masing mempunya penilaian dan jawapannya yang tersendiri. Apa yang pasti sejak daripada itu telah berkembangnya kebencian terhadap Islam sedikit demi sedikit sehingga lahirnya fenomena Islamofobia yang melanda masyarakat dunia sehingga ke hari ini.

Islam dituduh menjadi punca kepada keganasan. Ini terbukti daripada respon pemimpin-pemimpin Barat samada dari kelompok ahli politik, ahli agama, ahli perniagaan, golongan professional sehinggalah kepada kelompok-kelompok lain yang berpengaruh dalam masyarakat yang menyerang Islam dari setiap sudut.

Antaranya ialah kenyataan yang menuduh Nabi Muhammad SAW menyebarkan agama Islam dengan menggunakan pedang. Begitu juga karikatur-karikatur Barat yang menghina Nabi Muhammad SAW dengan mengambarkan baginda adalah seorang pengganas.

Fenomena ini bukan sahaja berlaku di negara-negara Barat yang kononnya menjadi mangsa kepada pengganas-pengganas yang anti kepada kebebasan dan demokrasi bahkan ianya juga merebak ke seluruh pelusuk dunia termasuk di kalangan negara Dunia Islam sendiri.

Maka di atas slogan perang menentang keganasan, regim zionis Israel menjadikannya sebagai alasan untuk menghapuskan kumpulan-kumpulan Islam seperti HAMAS, Jihad Islami dan Hizbullah. Begitu juga negara-negara Arab yang diperintah secara diktator mengambil peluang ini untuk mengharam dan menghapuskan kumpulan-kumpulan Islam sederhana yang mengambil pendekatan demokrasi pilihan raya seperti gerakan Ikhwan Muslimin di Mesir.

Bahkan lebih dari itu lagi, ia menjangkaui tindakan-tindakan oleh sesetengah negara Dunia Islam yang tidak membenarkan ayat-ayat Al-Quran yang berkait dengan peperangan dan kejahatan Yahudi diajar kepada pelajar-pelajar dengan alasan ia boleh merosak pemikiran mereka dan menggalakkan mereka untuk menjadi pengganas.

Akibat dari kempen jahat ini, ratusan ribu nyawa umat Islam yang tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan peristiwa 9/11 terkorban, cedera, di penjara dan hilang tempat tinggal. Akibat dari kempen jahat ini juga, negara-negara yang menyokong keganasan bermaharajalela melakukan keganasan di atas alasan menentang keganasan.

Persoalannya, adakah umat Islam sahaja yang dilabel sebagai pengganas? Bagaimana pula di negara-negara yang umat Islam menjadi kaum minoriti atau negara Islam yang dijajah di mana mereka dizalimi, diseksa dan diperlakukan seperti haiwan, bukankah itu juga tindakan pengganas? Siapa pula yang melakukan perkara sedemikian dan mengapa tidak juga dilabelkan sebagai pengganas?

Adakah pertubuhan-pertubuhan kecil sahaja yang dilabel sebagai pengganas sedangkan negara-negara yang melakukan keganasan dan menyokong keganasan dibiarkan bebas bermaharajalela seperti negara haram Israel yang secara terang-terangan mengganas di Palestin namun dibiarkan begitu sahaja oleh dunia barat.

Iraq di serang sehingga porak peranda dengan tuduhan yang akhirnya didapati palsu. Begitu juga Afghanistan, Libya dan Syria sehingga menjadi negara yang gagal namun tiada apa-apa tindakan diambil ke atas negara yang melakukan serangan tersebut namun apabila Rusia melancarkan operasi ketenteraan khas di Ukraine, dunia terutamanya Barat serta merta mengambil tindakan.

Adakah ini keadilan dan bukan hipokrasi? Adakah ini contoh demokrasi yang dipaparkan oleh Barat? Yang jelas ini adalah sikap imperialisme yang diamalkan Barat sejak ratusan tahun lamanya namun Islam yang berterusan dilabel sebagai agama keganasan.

Setelah 20 tahun “Perang Menentang Keganasan” dilancarkan, Amerika Syarikat dan Barat sudah mula beralih arah kepada ancaman-ancaman yang memakan dirinya sendiri akibat kebencian yang melulu terhadap Islam.

Ketika ini, Amerika Syarikat dan Barat berada di dalam dilema dan kegusaran kerana konsep keganasan Islam yang “dijual” mereka kepada seluruh dunia semakin basi dan tidak diterima oleh rakyat mereka sendiri. Agama Islam di Amerika Syarikat dan Eropah menjadi agama yang paling cepat tersebar akibat jelik dengan permainan jahat media Barat yang memomokkan Islam dengan pelbagai tuduhan jahat dan palsu.

Keganasan di Amerika Syarikat sendiri sudah menjadi semakin parah akibat daripada kebangkitan golongan ekstremis kaum kulit putih dan kumpulan Neo Nazi yang sebelum ini menghantui kebanyakan negara-negara Eropah. Perseteruan politik yang memuncak di Amerika Syarikat sekarang ini terutamanya antara Demokrat dan Republikan turut menyebabkan ketidakstabilan politik Amerika Syarikat.

Kebangkitan parti-parti politik berhaluan kanan di Eropah yang mula mengambil alih pentadbiran negara seperti di Sweden dan berkemungkinan di Itali, Bulgaria, Republik Czech dan beberapa negara lagi turut menyebabkan ketidakstabilan di Eropah dan mampu memporak perandakan Kesatuan Eropah.

Britain juga tidak terlepas daripada “ekosistem” ketidakstabilan ketika ini. Brexit yang menjadi kebanggaan Britain sebelum ini mula menjadi beban hingga menyebabkan ketidakstabilan politik dan ekonomi. Malah telah mula kedengaran “gerakan merdeka” daripada Scotland dan Ireland Utara selain perseteruan politik antara parti Buruh dan Konservatif yang menggugat kestabilan politik di Britain.

Namun sebenarnya saat ini Amerika Syarikat dan Barat sudah mula beralih arah bagi menghadapi seteru utama mereka iaitu China dan Rusia dengan segala kekuatan yang ada. Jika gagal mengekang China dan Rusia, Barat secara keseluruhan akan hilang dominasi kekuasaan geopolitiknya ke atas dunia.

Ketika ini Amerika Syarikat dan Barat menggunakan Ukraine dan Taiwan sebagai umpan untuk melemahkan kedua-dua negara tersebut namun usaha tersebut bakal menghadapi laluan yang cukup sukar dan berkemungkinan gagal.

Lebih memburukkan keadaan, sekatan ekonomi ketat yang dikenakan Amerika Syarikat dan Barat ke atas Rusia telah memakan diri sendiri sehingga menyebabkan berlaku krisis tenaga yang gawat, ekonomi jatuh merendum, kadar inflasi yang cukup tinggi dan berkemungkinan besar akan menyebabkan berlakunya kemelesetan ekonomi yang teruk tidak lama lagi ke atas Barat.

Sekatan, tekanan dan kepungan ke atas China dan Rusia tidak akan menyebabkan China dan Rusia lemah dan tunduk kepada Amerika Syarikat dan Barat tetapi akan menjadikan China dan Rusia bertambah kuat dan lebih efektif dalam menghadapi Amerika Syarikat dan Barat.

Ketika ini telah mula berlaku kebangkitan yang agak besar di kalangan rakyat di negara-negara Eropah yang menentang polisi sekatan ekonomi ke atas Rusia yang telah menyebabkan mereka menghadapi kesukaran untuk meneruskan kehidupan seharian akibat kos sara hidup yang melambung tinggi hampir dua kali ganda dan ia telah mula menggugat kestabilan dan hubungan negara-negara Kesatuan Eropah.

Operasi Ketenteraan Khas Rusia di Ukraine telah merapatkan lagi hubungan antara China dan Rusia, bahkan turut memecahkan pengaruh Amerika Syarikat dan Barat ke atas beberapa negara utama dunia seperti Arab Saudi, India, Afrika Selatan, Turkiye, UAE, Brazil, Mexico dan beberapa negara lagi.

Landskap geopolitik dunia telah mula berubah. Negara-negara di dunia telah mula berani memihak tanpa memperdulikan ancaman Amerika Syarikat dan Barat seterusnya terang-terangan memihak kepada China dan Rusia yang akan menyebabkan dunia unipolar yang diterajui Amerika Syarikat dan Barat bakal terlerai.

Akibat daripada apa yang berlaku ketika ini, keterujaan Amerika Syarikat dan Barat terhadap Islam telah mula hilang. Pengunduran tentera Amerika Syarikat dari Afghanistan dan kehilangan pengaruh di kalangan negara-negara Dunia Islam mungkin menandakan berakhirnya keterujaan Barat terhadap Islam.

Dunia Islam sewajarnya menggunakan peluang ini untuk mengukuhkan kembali kesatuan dan perpaduan yang telah longgar dan rosak selama ini akibat daripada campur tangan dan tipu muslihat Barat.

Peluang ini seharusnya digunakan sebaiknya bagi memulihkan perpaduan dan kekuatan di samping meningkatkan kerjasama di kalangan negara Dunia Islam sama ada dari sudut ekonomi, politik dan ketenteraan. Sudah tiba masanya untuk Islam bangkit kembali dari kegelapan kerana sudah ada sinar yang muncul setelah lama berada dalam kegelapan.

Walaupun Islam dihina, dikeji dan dituduh pengganas, usahlah kita umat dan Dunia Islam bersikap seperti Barat yang berdendam sehingga tiada kesudahan. Walaupun masih terbuku rasa amarah, Islam mengajar umatnya mengambil pendekatan yang bijaksana dalam situasi sebegini.

Mungkin ada ketikanya perdamaian lebih menguntungkan Dunia Islam, mungkin ada ketikanya bertegas untuk meningkatkan moral dan integriti Dunia Islam. Tiba masanya umat Islam bangkit kembali dari kegelapan kerana sinar dan cahaya telah terbentang di sepanjang jalan.

Malaysia Sejahtera

YB USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat
ADUN Batu Buruk – HARAKAHDAILY 17/9/2022

- Advertisement -