Isu politik jadikan rakyat lebih rasional pilih pemimpin

Sahar Abdul Majid
- Advertisement -

Oleh Oleh FAIZAH ARBAIN

SANDAKAN:
Jentera media berperanan penting dalam menimbulkan kesedaran masyarakat terhadap isu politik, kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Sahar Abdul Majid.

Menurutnya, isu politik akan dapat merangsang pemikiran rakyat supaya lebih rasional dalam memilih pemimpin.

“Gunakan kelebihan sebagai seorang penulis untuk memperkenalkan PAS kepada rakyat sama ada dari gagasan penyatuan ummah sampailah ke Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS) yang telah pun disediakan oleh PAS untuk menjadi sebuah kerajaan,” ujarnya semasa merasmikan Bengkel Produksi Media di Pejabat PAS Kawasan Libaran di sini, semalam.

- Advertisement -

Pemimpin PAS negeri yang turut hadir ialah Setiausaha Perhubungan, Dr. Aliakbar Gulasan, Ketua Penerangan Pemuda, Mustamam Mustain, Ketua Penerangan Muslimat, Julaila Ismail dan Ketua Penerangan DHPP, Wong Isaac.

Sahar juga mengingatkan wartawan dan jentera media parti supaya melaporkan sesuatu mestilah berpaksikan kepada kebenaran di samping menggunakan penulisan untuk menegakkan keadilan.

Selain itu, tambahnya maklumat yang disebarkan kepada rakyat mampu mempengaruhi cara berfikir dan penerimaan mereka terhadap kepimpinan PAS dalam kerajaan hari ini.

“Dalam konteks kepimpinan PAS, jentera media berperanan penting dalam menyampaikan mesej-mesej dan dasar-dasar yang berjaya dilaksanakan oleh menteri daripada PAS kepada rakyat.

“Pelaporan juga haruslah benar dan sentiasa menjadi pendamai dalam menyelesaikan masalah yang wujud dalam masyarakat,” tambahnya.

Bengkel yang dianjurkan oleh Lajnah Penerangan dan Media Baru PAS negeri yang disertai 25 aktivis media parti itu berakhir sekitar jam 11.00 malam. – HARAKAHDAILY 17/9/2022

- Advertisement -