Sanggah serangan terhadap PAS dengan lebih tegas

- Advertisement -

Oleh FADILAH NORDIN

SANDAKAN:
Ahli penerangan parti memainkan peranan sebagai benteng pertahanan dan barisan hadapan kepada PAS Sabah, kata Setiausaha PAS negeri, Dr Aliakbar Gulasan.

Menurutnya, barisan penerangan bukan sahaja bersifat mempertahankan parti tetapi juga perlu lebih tegas dalam menyangkal serangan-serangan pihak tertentu terhadap PAS.

- Advertisement -

“Gunakan kepakaran dari sudut penulisan supaya rakyat Sabah mendapat maklumat PAS Sabah yang tepat dan betul,” ujarnya semasa memberikan ucapan penutup Bengkel Produksi Media di Pejabat PAS Kawasan Libaran di sini, semalam.

Beliau berkata, program seumpama itu baik bagi melahirkan pertambahan ahli yang berkualiti dalam bidang penulisan.

“Tangan-tangan, mata-mata dan peranti yang digunakan membuka ruang pintu masuk mahupun pintu keluar masyarakat untuk mengenali PAS.

“Masyarakat kenal PAS, tahu PAS, apa aktiviti PAS, apa perjuangan, dasar dan polisi PAS, peneranganlah yang memainkan peranan sebahagiannya,” tambahnya.

Seramai 25 aktivis media parti seluruh Sabah menyertai bengkel yang dianjurkan oleh Lajnah Penerangan dan Media Baru PAS negeri itu. Bengkel yang bermula pukul 9.00 pagi berakhir sekitar 11.00 malam.

Pemimpin PAS negeri yang turut hadir ialah Timbalan Pesuruhjaya, Sahar Abdul Majid, Ketua Penerangan Pemuda, Mustaman Mustain dan Ketua Penerangan DHPP, Wong Isaac. – HARAKAHDAILY 17/9/2022

- Advertisement -