Kekal perpaduan demi Keluarga Malaysia, Sabah Maju Jaya

- Advertisement -

Oleh NURSAM MOHAMMAD

PUTATAN:
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik Sabah, Dr. Aliakbar Gulasan berkata, PAS tidak sesekali melupakan sambutan hari kebesaran masyarakat bukan Islam.

Menurutnya, PAS juga tidak mengetepikan dan sentiasa mendekati golongan B40 dengan menyalurkan pelbagai bantuan keperluan asas.

Beliau menyatakan demikian pada program agihan bakul makanan sempena sambutan Mid Autumn Festival anjuran PAS Kawasan Putatan di rumah pangsa Tanjung Aru, semalam.

- Advertisement -

Kuih bulan turut diagihkan pada program tersebut sebagai simbolik mengekalkan tradisi sambutan. Acara mesra rakyat juga diadakan seperti pertandingan mewarna kepada kanak-kanak serta pemeriksaan kesihatan secara percuma.

Hadir sama Ketua Penerangan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Sabah, Isaac Wong Kah Kiet, Ketua Penerangan PAS kawasan, Zulzaim Hilmee Abidin, Ketua Pemuda kawasan, Yusrizal Anuar, Ketua Masyarakat Cina Rumah Pangsa, David Leong dan Pengerusi JKDB Rumah Pangsa, Asneh Libong.

Beliau yang juga Setiausaha PAS negeri turut menegaskan parti itu akan terus melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti masyarakat setempat yang terdiri daripada pelbagai etnik, kaum dan agama.

“Kita perlu terus mengekalkan perpaduan dan keharmonian kaum dan agama bagi mencapai hasrat Keluarga Malaysia dan Sabah Maju Jaya,” ujarnya.

Sementara itu, David Leong berkata, PAS sering membantu rakyat yang kurang bernasib baik tanpa mengira kaum dan agama.

Ini, katanya menjadikan parti itu semakin disenangi dalam masyarakat setempat khususnya masyarakat Cina. – HARAKAHDAILY 17/9/2022

- Advertisement -