Penyampai berita tuntut Britain mohon maaf

Penyampai berita, Narelda Jacobs mewakili masyarakat Orang Asli di Australia meluahkan isi hati mereka susulan kemangkatan Ratu Elizabeth II. (FOTO: SBS)
- Advertisement -

Susunan ZULHAIDI MANSOR

CANBERRA: Seorang penyampai berita Orang Asli Australia mencetuskan kontroversi selepas menggesa kerajaan British menuntut permohonan maaf ekoran kritikan terhadap komuniti tersebut yang enggan berkabung atas kemangkatan Ratu Elizabeth II.

Penyampai berita Studio 10, Narelda Jacobs berkata, Keluarga Diraja British adalah simbol penjajahan Australia, dan komuniti Orang Asli di negara itu tidak boleh dikritik kerana enggan berkabung susulan kemangkitan baginda ratu, lapor The Mirror. 

- Advertisement -

Jacobs turut mempersoalkan perkara yang telah dilakukan oleh monarki British moden untuk menebus kesalahan nenek moyang mereka.

“Terdapat kesalahan besar yang telah dilakukan. Banyak permasalahan yang timbul di Australia diselesaikan tanpa terlebih dahulu mendapatkan persetujuan masyarakat Orang Asli di sini,” katanya secara langsung di stesen TV berkenaan.

Narelda menegaskan bahawa sistem monarki British berdiri ‘di atas politik’, tetapi baginda ratu boleh berbuat lebih banyak usaha untuk mengakui peranan keluarga diraja berkenaan dalam empayar tanah jajahannya.

“Walaupun dunia telah bersatu dalam kesedihan atas pemergian baginda ratu, namun komuniti yang dijajah Brtish juga bersatu atas trauma yang telah mereka alami,” katanya. 

Sementara itu, Anadolu Agency melaporkan kemangkatan raja paling lama memerintah Britain itu telah mencetuskan perdebatan di Australia mengenai masa depan sistem monarki British di negara itu.

“Semua yang diwakili oleh baginda ratu, tanpa mengira sifat peribadi yang dipegangnya dari segi menjadi seorang wanita tua yang baik hati, adalah sebenarnya warisan keganasan dan penjajahan di seluruh dunia yang telah menyentuh majoriti masyarakat umum dalam beberapa cara atau yang lain,” tegas Julie Youssef dari Melbourne, yang berketurunan Mesir, kepada akhbar Guardian Britain.

Susulan kemangkatannya, Ratu Elizabeth II meninggalkan warisan yang kompleks untuk masyarakat Orang Asli di Australia.

Komuniti tersebut telah berulang kali membuat rayuan secara langsung kepada keluarga diraja berkenaan tentang dasar masa lalu dan semasa yang telah menyaksikan Orang Asli ditundukkan hak mereka di tanah kelahiran sendiri.

Di Australia, terdapat banyak pendapat dalam kalangan orang Asli mengenai tempoh 70 tahun pemerintahan Ratu Elizabeth II.

Di tengah-tengah banyak lawatan Ratu ke Australia, Orang Asli terpaksa hidup dengan sedikit hak asasi mereka.

ABC News Australia memetik penduduk Orang Asli, Fay Carter yang berusia 87 tahun sebagai berkata bahawa semasa lawatan pertama baginda ratu pada 1954, perarakan yang membawa beliau melewati apa yang dikenali sebagai ‘The Flats’, lokasi di mana orang Asli tinggal di pondok sementara, tetapi pihak berkuasa tempatan menggunakan skrin untuk cuba melindungi komuniti berkenaan daripada pandangan raja.

“Kami menerima perkara sebegini yang berlaku kepada kami tetapi sekarang, apabila saya semakin tua dan lebih sedar tentang apa yang berlaku, saya tidak berasa begitu gembira mengenainya,” katanya.

Sebaliknya, seorang lagi penduduk Orang Asli, Frank Doolan berkata, lawatan baginda ratu pada tahun 2000 memberi kesan positif dan berpanjangan kepada komunitinya.

“Tidak kira bagaimana perasaan anda dari segi politik. Saya rasa kita semua harus bersetuju bahawa kita telah menjadi saksi kepada seorang wanita yang sangat hebat dan baik hati,” katanya.

Dalam pada itu seorang ahli akademik Australia, Prof. Sandy O’Sullivan berkata bahawa sesetengah masyarakat Orang Asli berpendapat bahawa Ratu Elizabeth II mempunyai tanggungjawab untuk menggubal perubahan untuk memperbaiki kehidupan komuniti berkenaan.

“Dia mempunyai suara yang kami tidak miliki dan suara itu akan pergi jauh untuk melaksanakan perubahan,” kata O’Sullivan kepada ABC News.

Australia mengisytiharkan kesetiaannya kepada Raja Charles III, yang kini menaiki takhta selepas kemangkatan Ratu Elizabeth II pada 8 September pada usia 96 tahun.

Gabenor Jeneral Australia, David Hurley mengumumkan bahawa mereka menerima pemerintahan baharu Raja Charles III dan berikrar taat setia pada majlis yang diadakan di ibu negara, Canberra.

Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese mengumumkan bahawa 22 September akan diisytiharkan sebagai hari berkabung dan cuti umum untuk mengenang Ratu Elizabeth II. – HARAKAHDAILY 14/9/2022

- Advertisement -