Kemenangan Bayern rosakkan kepulangan Lewandowski ke Munich

Leroy Sane menjaringkan gol kedua Bayern Munich
- Advertisement -

Bayern Munich menjaringkan dua gol dalam tempoh empat minit hasil jaringan Lucas Hernandez dan Leroy Sane, untuk menewaskan Barcelona 2-0 dalam perlawanan Kumpulan C Liga Juara-Juara.

Kemenangan itu menjadikan kepulangan menghampakan untuk penyerang Barcalona, Robert Lewandowski, yang meninggalkan Bayern untuk menyertai Barca musim ini. Juara Jerman itu kini mendahului kumpulan dengan enam mata daripada dua perlawanan.

- Advertisement -

Bagi Bayern, kemenangan itu tidak mungkin datang pada masa yang lebih baik, berikutan tiga keputusan seri berturut-turut dalam Bundesliga.

“Barca mempunyai peluang yang lebih baik pada separuh masa pertama. Kami terpaksa bergantung kepada (penjaga gol) Manuel (Neuer),” kata jurulatih Bayern, Julian Nagelsmann.

“Selepas rehat, kami lebih agresif dan dengan cepat menjaringkan dua gol. Kami pada dasarnya menang kerana kecekapan yang lebih tinggi,” katanya.

Nagelsmann lega kerana bekas penyerang handalan kelab itu, Lewandowski tidak menjaringkan gol menentang mereka semalam.

Barcelona memperoleh tiga mata, bersama Inter. Viktoria Plzen berada di tempat terakhir.

Barca menikmati permulaan impian, mengasak tanpa henti kelab Jerman di kawasan mereka sendiri dan mencipta beberapa peluang menjaringkan gol awal.

Rembatan Pedri berjaya dihalang oleh Neuer sebelum Lewandowski merembat bola voli ke atas palang pada minit ke-17.

Pemain Poland itu yang menjaringkan 344 gol untuk Bayern dalam 375 perlawanan, hampir menjaringkan gol empat minit kemudian, namun menuju ke Neuer dari jarak dekat.

Pasukan pelawat tidak memberi peluang kepada Bayern pada separuh masa pertama, dengan pertahanan Barca bekerja keras mengekang setiap pemain Bayern apabila mereka menguasai bola, menghalang sebarang pergerakan yang dirancang sebelum ini.

“Kami mencipta enam atau tujuh peluang menjaringkan gol, tetapi terlepas. Bayern pula bijak mengambil peluang mereka,” kata jurulatih Barcelona, ​​Xavi.

“Kami bermain dengan sangat baik dan jika menjaringkan gol, ia akan menjadi perlawanan yang berbeza. Ini adalah Liga Juara-Juara, anda perlu bersaing dan cuba mengelak kesilapan yang membolehkan mereka mendahului 1-0,” katanya.

Selepas rehat, Bayern memasukkan Leon Goretzka yang membantu Hernandez menewaskan penjaga gol Barca, Marc Andre ter Stegen. Kelebihan itu digandakan empat minit kemudian apabila Sane meledak melepasi Ter Stegen.

Pedri hampir menjaringkan gol apabila bola terkena tiang pada minit ke-63 ketika Barca cuba bangkit. Namun Bayern gigih bertahan untuk mendapatkan tiga mata, sekali gus memberikan sedikit kelegaan kepada Nagelsmann berikutan keputusan seri dalam Bundesliga menyaksikan mereka jatuh ke tempat ketiga. – REUTERS

- Advertisement -