50 juta terperangkap dalam ‘perhambaan moden’ – PBB

- Advertisement -

Susunan YUSMAN AWANG

GENEVA: Lima puluh juta orang di seluruh dunia terperangkap dalam buruh paksa atau perkahwinan paksa yang dikategorikan sebagai ‘perhambaaan moden’ dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengeluarkan amaran jumlah berkenaan  telah meningkat secara mendadak sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

PBB dalam kenyataannya pada Isnin berkata, matlamat telah ditetapkan untuk menghapuskan semua bentuk perhambaan moden menjelang  tahun 2030, namun menurut laporan terbaharu badan dunia itu, bilangan mangsa baik dalam buruh paksa atau perkahwinan paksa telah meningkat sebanyak 10 juta antara 2016 dan 2021, lapor Arab News.

- Advertisement -

Kajian oleh agensi PBB untuk buruh dan penghijrahan bersama World Free Foundation  mendapati bahawa pada akhir tahun lalu, 28 juta orang bekerja sebagai buruh  paksa dan 22 juta hidup dalam perkahwinan bukan atas kerelaan diri.

“Ini bermakna hampir satu daripada setiap 150 orang di dunia terperangkap dalam bentuk perhambaan moden itu,”kata laporan itu.

Tambah laporan berkenaan, pandemik Covid-19, yang memburukkan keadaan dan meningkatkan tahap hutang bagi ramai pekerja, telah meningkatkan risiko berkenaan.

Ditambah dengan kesan perubahan iklim dan konflik perang, ia telah menyumbang kepada ‘gangguan yang tidak pernah berlaku sebelum ini kepada sektor pekerjaan dan pendidikan, peningkatan dalam kemiskinan tegar dan penghijrahan paksa dan tidak selamat menambahkan lagi ancaman itu’, ujar laporan itu.

Perarakan penunjuk perasaan di Stockolm, Sweden terhadap isu buruh paksa di Libya pada 2017. (FOTO CNN)

Dalam pada itu, Ketua Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), Guy Ryder dalam kenyataannya pula berkata bahawa sungguh mengejutkan bahawa senario perhambaan moden tidak bertambah baik.

“Tiada apa-apa yang boleh membenarkan kegigihan penyalahgunaan hak asasi manusia ini. Ia adalah masalah jangka panjang,” tambah laporan itu yang memberi amaran, dengan anggaran menunjukkan perangkap dalam kerja paksa boleh berlangsung sehingga bertahun-tahun manakala perkahwinan paksa selalunya adalah ‘hukuman seumur hidup’ terhadap mangsa.

Menururt laporan itu lagi, golongan kanak-kanak menyumbang satu daripada lima orang yang menjadi mangsa eksploitasi buruh paksa, dengan lebih separuh daripada mereka terjebak dalam eksploitasi seksual komersial, kata laporan itu.

“Pekerja dari golongan migran terutama kanak-kanak berkemungkinan lebih daripada tiga kali menjadi buruh paksa berbanding pekerja dewasa bukan migran.

“Laporan (PBB) ini menggariskan keperluan mendesak untuk memastikan semua penghijrahan adalah selamat, teratur dan teratur,” ujar Ketua Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM), Antonio Vitorino pula dalam suatu kenyataan.

Perhambaan moden, tegas beliau,  pada dasarnya terdapat di setiap negara, dengan lebih separuh daripada kes kerja paksa dan satu perempat daripada perkahwinan paksa di negara berpendapatan sederhana atas atau berpendapatan tinggi.

“Adalah satu kesilapan untuk mempercayai bahawa buruh paksa adalah semata-mata masalah negara miskin,” tegasnya kepada AFP.

Laporan itu mendapati bahawa bilangan individu, terutamanya wanita dan kanak-kanak perempuan  terjebak dalam perkahwinan paksa telah meningkat sebanyak 6.6 juta sejak anggaran peringkat global terakhir pada 2016.

“Bilangan individu yang menjadi mangsa buruh paksa meningkat sebanyak 2.7 juta dalam tempoh yang sama.

“Peningkatan itu didorong sepenuhnya oleh lebih banyak buruh paksa dalam ekonomi swasta, termasuk eksploitasi seksual komersial paksa,” tambahnya.

Namun, laporan itu juga mengatakan bahawa 14 peratus daripada mereka yang menjadi mangsa buruh paksa melakukan pekerjaan yang dikenakan oleh pihak berkuasa negeri, menyuarakan kebimbangan mengenai penyalahgunaan buruh  di banyak negara, termasuk Amerika Syarikat.

“Ia juga menunjukkan kebimbangan serius yang dibangkitkan oleh pejabat hak PBB mengenai ‘akaun yang boleh dipercayai mengenai buruh paksa dalam keadaan yang sangat teruk’ di Korea Utara.

“Ia juga menyerlahkan situasi di China, yang mana beberapa agensi PBB telah memberi amaran tentang kemungkinan tentang buruh paksa, termasuk di wilayah Xinjiang, di mana Beijing dituduh menahan lebih satu juta etnik Uighur dan kaum minoriti Islam lain,” ujar laporan itu.

Terdahulu, Beijing telah menolak sekeras-kerasnya tuduhan sedemikian, mendakwa ia menjalankan pusat latihan vokasional untuk membantu membasmi ekstremisme.

Sementara, laporan yang diterbitkan oleh bekas ketua hak asasi manusia PBB, Michelle Bachelet pada 31 Ogos lalu menyebut bahawa lebih banyak maklumat diperlukan, tetapi skim buruh di rantau berkenaan lebih  bersifat diskriminasi dan ‘ melibatkan unsur paksaan’.

Laporan PBB pada Isnin mengalu-alukan China pada bulan lalu setelah meratifikasi Konvensyen Buruh Paksa ILO.

“Ini bermakna “China  akan mula melaporkan keadaan etnik Uighur dan itu akan memberi kita peluang baharu untuk mendapat akses dan mendalami situasi dalam hal itu,” kata Ryder kepada AFP pula.

Beliau mengakui bahawa perbincangan mengenai hak buruh di Xinjiang adalah ‘bukan perbincangan  yang mudah, … tetapi jelas ia adalah sesuatu yang sangat penting untuk dibincangkan’. – HARAKAHDAILY 13/9/2022

- Advertisement -