Piala Raja Thai jadi medan Pan-gon cuba pemain baharu

Jurulatih Malaysia, Kim Pan-gon
- Advertisement -

Piala Raja Thai di Chiangmai akhir bulan ini, memberi peluang kepada ketua jurulatih, Kim Pan-gon, menguji pemain baharu untuk Harimau Malaya sebelum menghadapi Piala AFF, Disember ini.

Dalam undian yang dijalankan untuk kejohanan itu semalam, Malaysia akan bermain perlawanan pertama menentang tuan rumah, Thailand pada 22 September, diikuti menentang sama ada, Trinidad & Tobago atau Tajikistan pada 25 September.

- Advertisement -

Piala Raja Thai akan menjadi ujian yang baik untuk pasukan Pan-gon kerana menghadapi lawan yang berada di kedudukan lebih tinggi.

Negara berada di kedudukan ke-147 dunia, manakala Trinidad & Tobago di kedudukan ke-101 dunia. Tajikistan dan tuan rumah, Thailand masing-masing berada di kedudukan ke-108 dan ke-111.

Malaysia pada era 1970-an pernah menjuarai empat edisi Piala Raja, iaitu pada 1972, 1976, 1977 dan 1978.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam, mengumumkan lapan muka baharu adalah antara 25 pemain yang dipanggil ke kem latihan Piala Raja Thai.

Tiga pemain bawah 21 tahun yang dipanggil ialah penjaga gol Terengganu, Rahadiazli Rahalim dan rakan senegeri, Azam Azmi Murad serta Mukhairi Ajmal Mahadi (Selangor). Turut mendapat panggilan ialah Sharul Nazeem Zulpakar (Selangor); Zhafri Yahya dan Declan Lambert (Kuala Lumpur) serta seorang lagi penjaga gol, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi (PJ City).

Pemain Selangor, Brendan Gan, yang pulih daripada kecederaan yang mengancam kerjayanya juga akan kembali menyertai pasukan kebangsaan. Penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT), Farizal Marlias, 36, yang merupakan pilihan pertama Malaysia ketika kelayakan Piala Asia pada Jun lalu, berada dalam senarai simpanan ketika Pan-gon mencuba dua penjaga gol yang lebih muda.

Jadual perlawanan Piala Raja Thai

JDT mendahului senarai dengan sembilan pemain, termasuk Arif Aiman ​​Hanapi, 20, yang menjaringkan gol pertama dalam kemenangan 3-1 ke atas Terengganu pada perlawanan akhir Piala FA, Sabtu lalu.

Pan-gon dijangka menggunakan peluang ini untuk menguji pemain baharu dan membiarkan mereka menyesuaikan diri dengan gaya permainan agresif beliau yang dipamerkan ketika kelayakan Piala Asia.

Jurulatih dari Korea Selatan yang kali pertama tiba di Malaysia pada awal tahun, melawat stadium di seluruh negara untuk memerhati pemain tempatan dalam liga domestik. Beliau juga sentiasa dimaklumkan mengenai perkembangan skuad Bawah 23 tahun negara.

Penolongnya, E Elavarasan, baru-baru ini dilantik sebagai ketua jurulatih skuad bawah 23 tahun negara.

“Selepas layak ke Piala Asia 2023 pada Jun lalu, kami terus fokus dan melihat ke hadapan. Piala Raja akan menjadi kejohanan yang berguna untuk kami sebelum Piala AFF ketika persiapan dibuat bagi menghadapi Piala Asia tahun depan.

“Kami mahu mendapatkan keputusan yang baik di Chiangmai, tetapi saya juga mahu menggunakan peluang untuk memperhalusi corak dan falsafah permainan kami,” kata Pan-gon.

- Advertisement -