Jalan menuju syurga Allah S.W.T

- Advertisement -

ALLAH S.W.T telah menyebutkan mengenai syurga-Nya sebanyak 144 kali di dalam al-Quran.Antaranya ayat mengenai mendapatkan dua syurga.

Allah S.W.T berfirman, yang bermaksud:

- Advertisement -

“Dan bagi orang yang takut akan saat menghadap Tuhannya, ada dua syurga” 

(Ar-Rahman: 46)

Apa yang dimaksudkan, orang yang takut pada Allah? Syaikh As Sa’di Rahimahullah menyatakan: 

“Konsekuensi dari orang yang takut pada Allah adalah meninggalkan larangan dan melaksanakan perintah. Itulah yang mendapatkan dua syurga. Dua syurga itu terdapat bekas, perhiasan, bangunan dan isi lainnya yang terbuat dari emas. Salah satu dari dua syurga itu diperuntukkan kerana meninggalkan yang diharamkan. Dan syurga lainnya diperuntukkan kerana melakukan ketaatan yang diperintahkan.”

(Tafsir As Sa’di, halaman 880)

Dan dikuatkan oleh Hadis Qudsi:

Sabda Rasulullah S.A.W dalam sebuah hadis qudsi yang bermaksud:

“Allah S.W.T berfirman, “Aku telah menyediakan bagi hamba-hamba-Ku yang soleh kenikmatan yang belum pernah mata melihatnya, belum pernah telinga mendengarnya, dan belum pernah pula terdetik dalam kalbu manusia’.””

(Hadis Riwayat al-Bukhari)

Jadi indahnya syurga tidak seperti yang kita bayangkan dan angan-angankan. Setiap manusia mempunyai keinginan, keinginan inilah yang akan memotivasikan mereka untuk kukuh teguh berjuang menuju syurga Tuhan.

Dari Abu Hurairah R.A, Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Siapa yang takut, hendaknya ia berjalan di awal malam. Siapa yang berjalan di awal malam, nescaya dia sampai tujuan. Ketahuilah bahawa barang dagangan Allah itu mahal. Ingatlah bahawa barang dagangan Allah itu adalah syurga.”

(Hadis Sahih – Diriwayatkan oleh Tirmizi)

Apakah kita sudah beriman dengan syurga Allah S.W.T. Syurga yang harganya mahal dan menuntut mujahadah dan perjuangan. Setiap kita, diseru meminta-minta untuk dapat memasuki syurga Allah S.W.T.

Apakah tanda-tanda jalan ke syurga. Adakah kita di atasnya?

1. Jalan syurga itu jalan untuk yang cepat.

Jadi orang-orang yang ingin ke syurga, mereka mesti berjalan cepat, bersegera. Bukan sekadar berangan-angan dan bersenang-senang sahaja.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“Berlumba-lumbalah kamu (mengerjakan amal yang baik) untuk mendapat keampunan daripada Tuhan kamu, dan mendapat syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasul-Nya, yang demikian ialah limpah kurnia Allah, diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah sememangnya mempunyai limpah kurnia yang besar.”

(Al-Hadid: 21)

Dan contoh dari hadis yang lain. Diriwayatkan dari Abu Hurairah R.A yang bermaksud:

“Pada suatu hari, Rasulullah S.A.W bertanya kepada para Sahabat, “Siapa di antara kalian yang berpuasa pada hari ini?’’ “Saya,” jawab Abu Bakar.  “Siapa di antara kalian yang mengiringi jenazah pada hari ini?” tanya Beliau. “Saya,” jawab Abu Bakar. “Siapa di antara kalian yang memberi makan fakir miskin pada hari ini?,” tanya Beliau. “Saya,” jawab Abu Bakar. “Siapa di antara kalian yang menziarahi orang sakit pada hari ini?” tanya Beliau. “Saya,” jawab Abu Bakar. Rasulullah S.A.W kemudian bersabda, “Tidak terangkum hal tersebut pada diri seseorang, melainkan ia akan masuk syurga.”’”

(Hadis Riwayat Muslim)

Jelas di sini, syurga buat Saidina Abu Bakar. Jadi bagi kita, cepat-cepatlah melaksanakan amalan-amalan kebaikan seperti Saidina Abu Bakar yang sentiasa mendahului yang lain.

Ketika pasukan Musyrikin sudah mendekat, Rasulullah S.A.W berseru yang bermaksud, “Berdirilah kalian (untuk menyambut perang) menuju syurga yang luasnya antara langit dan bumi.”

Salah seorang Sahabat, Umair bin al-Hammam, pun ikut berdiri. Ia bertanya-tanya, “Benarkah luasnya syurga itu antara langit dan bumi?”

Rasulullah menjawab yang bermaksud, “ya.”

Umair terpesona dengan ganjaran pahala yang dijanjikan. “Mudah-mudahan saya menjadi penghuninya,” ujar Umair. Rasulullah pun menjawab yang bermaksud, “Kamu termasuk penghuninya.”

Tak terperikan lagi kegembiraan di hati Umair. Ia yang baru saja memakan beberapa butir kurma, langsung dibuangnya. Menurutnya, terlalu lama untuk menghabiskan beberapa kurma yang masih tersisa itu. Sejurus kemudian, ia pecahkan sarung pedangnya. Ia maju menyongsong pasukan Musyrikin dengan gagah berani. Kemudian, ia pun mendapatkan syahid. 

Demikian, seperti dikisahkan Syekh Abdurrahman al-Mubarakfury dalam Rahiqul Makhtum (Sirah Nabawiyah).

Jadi seseorang yang benar-benar yakin dengan kenikmatan syurga di akhirat, tentu tidak ingin menunggu lama dalam melaksanakan perintah Allah S.W.T dan meninggalkan larangan-Nya.

2. Jalan orang yang bergerak cergas atau berlumba-lumba. 

Kisah anak dan ayah yang berebut berjihad di perang Badar untuk menemani Rasulullah S.A.W, patut dijadikan iktibar untuk menambah keimanan dan kecintaan kita terhadap Islam.

Ketika Rasulullah S.A.W memanggil kaum Muslimin yang mampu berperang untuk terjun ke perang Badar, terjadilah dialog menarik antara Saad bin Khaitsamah dengan ayahnya bernama Khaitsamah.

Khaitsamah berkata kepada anaknya: “Wahai anakku, aku akan keluar untuk berperang dan kau tinggal di rumah menjaga wanita dan anak-anak.”

Maka Khaitsamah berkata: “Wahai anakku, apabila ada antara kita harus ada yang berangkat satu orang baik kau mahupun aku, maka dahulukan aku untuk berangkat.”

Saad menjawab: “Demi Allah wahai ayahku, kalau bukan masalah syurga, maka aku akan mendahulukanmu.” Khaitsamah tidak rela kecuali melalui undian antara dia dan anaknya sehingga terasa lebih adil. Hasil undian menunjukkan bahawa Saad lah yang harus turun ke medan perang. Dia pun turun ke perang Badar dan mati syahid.

Khaitsamah tidak terkesan dengan kesyahidan anaknya malah setelah diizinkan Rasulullah , Khaitsamah bertempur hebat hingga akhirnya mati syahid di perang Badar. Allah S.W.T pun memuliakannya berjumpa dengan anaknya di syurga.

Subhanallah, sebuah kisah yang mengharukan sekali gus menakjubkan. Keinginan ayah dan anak untuk berjihad di medan perang menemani Rasulullah S.A.W mendapat keredhaan Allah dengan balasan syurga. Semoga kita termasuk golongan orang-orang yang berjihad di jalan Allah S.W.T.

Mereka berlumba-lumba untuk ke syurga bukan sekadar masih berfikir-fikir dan berdoa tetapi terus bertindak cepat dengan izin Allah S.W.T kerana, ini jalan orang yang berlumba-lumba.

3. Jalannya panjang sekali.

Jalan menuju syurga, jalan yang melelahkan, tetapi jangan berhenti, teruskan. Kekadang dalam perjalanan menuju sesuatu yang kita inginkan, memerlukan puluhan tahun untuk mencapainya.

Contoh lainnya, berapa tahun seseorang untuk meraih gelaran doktor? Sama ada doktor perubatan atau doktor falsafah. Masing-masing, sekurang-kurangnya perlukan perjalanan 20 tahun ke atas. Perjalanan yang melelahkan ini mereka sanggup melaluinya dan berjuang untuk mendapatkannya. Selepas itu, bekerja pula dan memanjangkan ilmu yang ada.

Kalau untuk mendapatkan kejayaan di dunia memerlukan puluhan tahun, bagaimana pula perjalanan ke syurga Allah S.W.T? Jawapannya, selama-lamanya.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“Dan sembahlah Tuhanmu sampai datang kepadamu yang diyakini (ajal).” 

(Al-Hijr: 99)

4. Jalannya gelap gelita.

Hanya orang-orang yang mempunyai lampu yang mampu melaluinya. Lampu atau cahaya yang menerangi jalan ke syurga adalah ilmu.

Daripada Abu Hurairah R.A bahawa Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud: 

“Barangsiapa yang menempuh satu jalan untuk menuntut ilmu maka Allah S.W.T akan memudahkan baginya jalan untuk ke syurga. Tidaklah satu kumpulan berkumpul di dalam sebuah rumah di antara rumah-rumah Allah, membaca kitab Allah (al-Quran) dan mempelajarinya sesama mereka melainkan akan turun kepada mereka sakinah (ketenangan), diliputi ke atas mereka rahmat dan dinaungi oleh malaikat serta Allah S.W.T akan menyebut mereka pada malaikat yang berada di sisi-Nya”. 

(Hadis Riwayat Muslim)

Dengan adanya ilmu, mereka akan mengenali apa itu yang wajib, haram, sunnah, makruh dan harus. Islam diibaratkan penjara bagi orang-orang yang beriman, penuh dengan peraturan, demi menjaga kesejahteraannya.

5. Jalan yang penuh lubang dan ranjau berduri.

Jalan ke syurga dikelilingi oleh sesuatu yang dibenci oleh jiwa dan jalan ke neraka dikelilingi oleh sesuatu yang disukai oleh jiwa manusia.

Jadi jalan untuk ke syurga penuh lubang-lubang yang kalian harus melompat mengelak dari terjatuh ke dalam perangkap-perangkap syaitan, hawa nafsu dan pengaruh Yahudi dan Nasrani.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“Adakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) seperti (yang dialami) orang-orang terdahulu sebelum kamu. Mereka ditimpa kemelaratan, penderitaan dan digoncang (dengan berbagai cubaan), sehingga Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya berkata, “Bilakah datang pertolongan Allah?” Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat.” 

(Al-Baqarah: 214)

Para Sahabat Rasulullah diuji seperti ayat di atas, Nabi Yusof diuji dengan wanita cantik dan hartawan yang menggodanya, nabi Ibrahim diuji dengan dilempar ke dalam api yang marak menyala, dibuang oleh orang-orang kampungnya dan dibenci. Iman mereka diuji untuk ganjaran syurga Allah S.W.T.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa hisab (batas).”

(Az-Zumar: 10)

Yakni kelak di syurga.

6. Jalan yang dipenuhi oleh syaitan.

Iblis berkata: “Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalan-Mu yang lurus.”

Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur.”

(al-Araf : 16-17)

Syaitan berjanji dengan Allah akan duduk di jalan yang lurus untuk mengeluarkan manusia dari jalan itu. Syaitan menahan dari depannya dan memegang dari belakangnya, dari kanan dan kirinya dan nantinya manusia tidak akan bersyukur.

Jadi dalam menghadapi syaitan-syaitan ini mesti banyakkan membaca doa pelindung dari bisik-bisikan dan tipu dayanya. Kalau kita terhenti sebentar dari berjalan dan terikat dengan godaannya, solusinya, segera bertaubat, kembali semula kepada Allah S.W.T. Orang-orang yang masuk syurga hanyalah orang yang sudah dibersihkan hatinya dari dosa-dosa.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan ‘Taubat Nasuha’, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, pada hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang-orang yang beriman bersama-sama dengannya. Cahaya (iman dan amal soleh) mereka, bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan). Mereka berkata (ketika orang-orang munafik meraba-raba dalam gelap-gelita), “Wahai Tuhan kami! Sempurnakanlah bagi kami cahaya kami, dan limpahkanlah keampunan kepada kami. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.””

(At Tahrim: 8)

Kesimpulan

Jalan menuju ke syurga penuh ujian, berjalanlah terus tanpa berhenti walaupun perlahan. Jangan kalian uturn, berpatah balik setelah kalian mulai berjalan. Jalan ini jalan yang lurus. Ujian ini hanya sekadar untuk menguji siapa di antara kalian yang benar-benar beriman dan mujahadah menuju syurga Allah S.W.T.

Wallahu’lam.

FARIDAH KAMARUDDIN – HARAKAHDAILY 13/9/2022

- Advertisement -