FIFA: AS$5 bilion dibelanjakan ketika jendela perpindahan pemain

- Advertisement -

Susunan ZIAUDDIN SHARUDDIN

Nilai perpindahan antarabangsa dalam bola sepak lelaki mencecah paras tertinggi sepanjang masa apabila AS$5 bilion dibelanjakan dalam jumlah yuran ketika jendela perpindahan terbaharu.

Badan induk bola sepak dunia, FIFA, semalam mengeluarkan laporan perpindahan pemain antarabangsa, termasuk analisis aktiviti perpindahan pemain antarabangsa ketika jendela perpindahan antara 1 Jun hingga 1 September lalu.

- Advertisement -

Penemuan utama laporan itu menunjukkan 9,717 perpindahan antarabangsa melibatkan pemain lelaki berlaku ketika tempoh pendaftaran pertengahan tahun, iaitu 16.2 peratus lebih tinggi berbanding tempoh yang sama pada 2021, sekali gus mencatat rekod tertinggi.

Sebanyak AS$5 bilion dibelanjakan dalam jumlah yuran untuk perpindahan itu adalah 29.7 peratus lebih tinggi, berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Perpindahan Darwin Nunez dari Benfica ke Liverpool dilaporkan bernilai AS$99.98 juta oleh media Britain, manakala Aurelien Tchouameni menyertai Real Madrid dari AS Monaco dengan jumlah yang sama.

Dalam bola sepak wanita, perpindahan antarabangsa ketika tempoh pendaftaran pertengahan tahun juga mencapai paras tertinggi sepanjang masa dengan 684 perpindahan, iaitu 14.4 peratus lebih tinggi berbanding tempoh yang sama pada 2021.

Laporan itu juga menunjukkan bahawa kelab Portugal mengalami pemulihan yang sangat kukuh, lebih daripada tiga kali ganda penerimaan yuran perpindahan, berbanding tempoh yang sama pada 2021 selepas dua tahun berturut-turut penurunan ketara.

Jumlah yuran perkhidmatan untuk ejen kelab yang diisytiharkan dalam perpindahan ialah AS$494.4 juta.

Mengikut laporan itu, sepanjang 10 tahun lalu, nisbah yuran perkhidmatan ejen kepada yuran pemindahan ketika jendela pendaftaran pertengahan tahun meningkat daripada 6.1 peratus pada 2012 kepada 9.9 peratus pada 2022.

- Advertisement -