Berdepan kuasa besar: Apa Malaysia nak buat?

- Advertisement -

HARI kedua berlangsungnya Persidangan Ketua Perwakilan Diplomatik Malaysia Ke-9 (HOMC9) dengan sesi dialog membincangkan ‘Kebijaksanaan dalam Mendepani Cabaran-cabaran Dunia Komtemporari’.

Kita sedang berhadapan dengan dua kluster cabaran yang membentuk orde dunia kontemporari. Pertama ialah ‘kuasa-kuasa besar’ dan kedua, ‘perkembangan-perkembangan utama semasa’. Cabaran pertama iaitu kuasa-kuasa besar merujuk kepada tabiat dan perlakuan kuasa-kuasa besar di pentas antarabangsa. 

Bagi negara kecil seperti Malaysia, tabiat dan perlakuan kuasa-kuasa besar ini sering menggusarkan kawasan negara dan rantau ini yang ingin kita teruskan sebagai negara yang merdeka, berdaulat, serta rantau yang aman, bebas dan berkecuali.

Bagi kluster cabaran kedua pula ialah perkembangan-perkembangan utama semasa yang merujuk tiga cabaran utama, iaitu perubahan iklim akibat perbuatan manusia, kemajuan teknologi yang bermanfaat besar tetapi turut melibatkan isu-isu manusiawi, dan arkitektur-arkitektur antarabangsa yang tidak adil.

Kita harus membaca perkembangan-perkembangan utama semasa ini dengan kefahaman yang tinggi dan berhati-hati, supaya kita tidak tertipu dan terpedaya, supaya melakukan rundingan-rundingan dengan teliti, dan supaya, sekalipun terpaksa adakalanya menurut arus, tetapi tidaklah pula seperti lembu dicucuk hidung. 

Pengamatan dan penilaian kita haruslah berpaksikan realiti semasa dan senario yang kita inginkan, bukannya sekadar senario yang mungkin akan berlaku, iaitu bagi kepentingan-kepentingan negara dalam semua sektor.

Berhadapan dengan 2 kluster cabaran ini, langkah kehadapan yang diambil KLN ialah terus berbuat yang terbaik dalam perjuangan hubungan antarabangsa dalam menegakkan dunia yang bebas, aman dan saksama serta mempromosi Malaysia yang berbilang budaya, moden dan progresif. 

KLN juga perlu memperkasa kemampuan diplomatiknya dengan mewujudkan pakar bidang dan melipatganda pembangunan sumber manusia dengan inisiatif baharu, seperti program pensarjanaan diplomat, mempertingkat bilangan tajaan kepada warga KLN, menjalankan program immersion, dan menubuhkan kumpulan pakar.

Kepakaran merupakan kunci untuk kita melaksanakan inisiatif-inisiatif penting yang lain, contohnya, ‘agenda wanita, keamanan dan keselamatan’ serta soft power melalui ‘diplomasi bahasa dan kebudayaan’ dan lain-lain akan menuruti secara sendiri.

YB DATUK SERI SAIFUDDIN ABDULLAH
Menteri Luar Negeri – HARAKAHDAILY 8/9/2022

- Advertisement -
- Advertisement -