PAS sasar menang 40 dari 80 kerusi akan ditandingi PRU15

Ketika itu tidak ada mana-mana parti dapat bentuk Kerajaan Persekutuan tanpa PAS

- Advertisement -

ALOR SETAR: PAS mensasarkan menang sekurang-kurangnya 40 kerusi Parlimen pada PRU15 akan datang, demikian beritahu Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor. 

Kata beliau, sekiranya PAS memenangi 40 kerusi Parlimen, maka tidak ada mana-mana parti yang dapat membentuk Kerajaan Persekutuan tanpa melibatkan sama PAS sebagai gabungan. 

Maklum beliau yang juga Menteri Besar Kedah, PAS akan bertanding 80 kerusi yakni separuh daripada ditandingi parti itu pada PRU14 lalu di mana ia sudah disenaraikan Jabatan Pilihan Raya (JPP) PAS Pusat. 

“Mana-mana kawasan yang tidak capai KPI akan digugurkan dan diganti dengan kawasan lain yang didapati ada peningkatan prestasi baik dari segi persiapan jentera mahupun keperluan-keperluan lain untuk menghadapi pilihan raya,” ujarnya. 

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan pada Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-68 di Dewan Dato’ Haji Fadzil Mohd Noor, Kompleks PAS Kedah, di sini sebentar tadi. 

Menurutnya, ketika PAS mempunyai 17 kerusi pun dengan tiga Menteri, ada lapan Timbalan Menteri, banyak perjuangan ataupun dasar-dasar yang ditentukan oleh PAS telah dapat dirasai nikmatnya oleh rakyat Malaysia. 

“Bayangkan bila kita ada 40 kerusi. 40 kerusi inilah milestone yang diletakkan dalam perjalanan PAS yang panjang kita sasarkan bermula 2020 sehingga 2050. Pada tahun 2050, siapa yang dapat hidup lagi pada masa itu, akan saksikan Perdana Menteri Malaysia daripada PAS. 

“Calon calon pilihan raya, saya nak minta satu saja sekiranya kawan rakan yang kita harap menjadi calon tidak terpilih atas sebab-sebab tertentu sama ada ada calon yang lebih baik ataupun kawasan yang kita cadang itu dapat kepada rakan dalam muafakat politik ini. 

“Dilarang memboikot parti dalam pilihan raya. Hak ni berlaku di beberapa kawasan. Untuk maju ke depan sebagai parti model parti politik terbaik di Malaysia pemimpin dan ahli PAS di semua kawasan tidak akan memboikot parti jika hasrat diri sendiri tidak tercapai.  

“Kita akan ikut apa saja keputusan yang diputuskan oleh kepimpinan pasal calon ni,” tegasnya memperingatkan sekitar 1,300 perwakilan di hadapannya. 

Berkenaan logo, beliau mengulas bahawa perkara tersebut ‘sedang dimasak’ dan belum dapat dihidangkan, namun keputusan terbaik yang menguntungkan PAS akan dibuat oleh pimpinan. – HARAKAHDAILY 4/9/2022

- Advertisement -
- Advertisement -