Persiap jentera teknologi digital kuasai anak muda

- Advertisement -

ALOR SETAR: Persiapan jentera dengan teknologi digital dan penguasaan di tahap industri perlu diadakan dalam cabaran menarik undi anak muda (Undi18) yang sehingga hujung Disember 2021 sahaja berjumlah 1.2 juta orang. 

Perwakilan PAS Kelantan, Ustaz Mohd Kamal Mohamad berkata, ia memerlukan segmentasi teknikal agar kemenangan PAS dapat dijelmakan pada PRU15 akan datang dengan menarik sokongan undi golongan itu. 

Menurutnya, realiti sekarang adalah berasaskan internet dan medium langit terbuka di mana sesiapapun mesti mempersiapkan diri dengan menguasai teknologi ini agar dapat menguasai anak-anak muda. 

“Sebagai contoh Kelantan telah melancarkan hab digital rakyat untuk seluruh negeri Kelantan dengan peruntukan RM1.4 juta. Ini semua untuk anak muda. Untuk kita kuasai minda mereka menghadapi PRU15,” ujarnya. 

Beliau membahas Ucapan Dasar Presiden dalam hari kedua Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-68 di Dewan Dato’ Haji Fadzil Mohd Noor, Kompleks PAS Kedah, di sini sebentar tadi. 

“Segmen kedua adalah tawaran sejahtera untuk anak-anak muda negara yang dilihat perlu diberi perhatian serius bagi mengisi kelompangan ilmu demokrasi dan kepentingan memilih pemimpin negara melalui jalan politik yang sebenar. 

“Anak-anak muda dilunaskan hatinya. Kenal agama mengikut cara mereka yang trending atau sekurang-kurangnya membawa mereka supaya mengikuti didikan yang baik melalui teladan integriti.  

“Integriti dari segi dosa dan pahala dalam berpolitik integriti dari segi kepatuhan undang-undang negara bagi keselamatan seluruh rakyat negeri Kelantan seluruh Malaysia,” ujar beliau. 

Beliau menyentuh isu beberapa pengguguran kes rasuah hingga membingungkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di mana ia berbeza dengan tiada campur tangan kerajaan ke atas kehakiman ketika ini. – HARAKAHDAILY 4/9/2022

- Advertisement -
- Advertisement -