‘Negeri pangkalan’: Pertahan Kelantan, Terengganu dan Kedah

- Advertisement -

ALOR SETAR: Presiden PAS menegaskan Kelantan, Terengganu dan Kedah yang telah dikuasai oleh parti itu itu adalah ‘negeri pangkalan’ yang wajib dipertahankan dan dilaksanakan agenda Islam mengikut bidang kuasa negeri.

Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, kawasan parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang telah dimenangi di beberapa negeri juga perlu diberikan perhatian.

“Menarik sokongan rakyat seramai mungkin mesti dilakukan dengan apa jua cara melalui kefahaman dan kesedaran, termasuk khidmat masyarakat dan kegiatan sosial,” ujar beliau semasa menyampaikan ucapan dasar pada Muktamar Tahunan PAS kali ke-68 di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, hari ini.

Beliau juga berkata, bagi menjayakan cita-cita membina kesejahteraan negara dan rakyat, maka PAS wajib menggerakkan seluruh jentera parti mengikut perintah Allah SWT.

Jelasnya, Allah SWT memerintahkan agar menyediakan kekuatan mengikut kemampuan daripada sumber yang ada dengan penyusunan dan strategi yang baik.

- Advertisement -

Kemudian, ujar beliau diikuti dengan syarat-syarat yang melayakkan untuk mendapat pertolongan Allah SWT.

Beliau memetik ayat 4 Surah al-Saff yang bermaksud: Sesungguhnya, Allah menyukai orang yang berperang pada jalan-Nya dalam barisan yang teratur, seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh.

Seterusnya, kata beliau hendaklah memenuhi syarat-syarat kemenangan berdasarkan janji Allah SWT melalui firman-Nya dalam Surah Ali ‘Imran ayat 200 yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kalian (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kalian lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan) serta bertaqwalah kalian kepada Allah, supaya kalian berjaya (mencapai kemenangan).

Beliau menjelaskan ayat itu merupakan ayat penutup kepada Surah Ali ‘Imran yang menceritakan dua peristiwa besar yang sangat penting kepada umat Islam.

Pertama, ujarnya peristiwa Badar al-Kubra yang menyaksikan bagaimana umat Islam berjaya mencapai kemenangan yang besar, walaupun terpaksa menghadapi musuh yang lebih kuat pada zahirnya ketika itu.

Kedua, katanya peristiwa Uhud yang sangat mencabar kerana Islam tidak boleh dikalahkan, tetapi perang tersebut memakan korban para syuhada dan ramai yang mendapat kecederaan, apabila tentera Islam tidak taat dan wala’ mengikut arahan kepimpinan akibat terpengaruh dengan harta yang telah ditinggalkan oleh musuh.

“Ini sekali gus menunjukkan bahawa kemenangan yang dijanjikan oleh Allah SWT tidak memadai dengan hanya beriman tanpa diuji kesabaran terhadap nafsu diri sendiri, kejahatan musuh dan ribat (melaksanakan tugas dengan ikhlas) di mana sahaja diletakkan dan seterusnya bertaqwa kepada Allah SWT,” katanya.

Seterusnya, ujar beliau penyusunan jentera berpandukan hadis yang disabdakan oleh Rasulullah SAW yang bermaksud: Sebaik-baik bersahabat itu empat orang, manakala sebaik-baik pasukan itu 400 orang, dan sebaik-baik jumlah bala tentera 4,000 orang dan jumlah anggota 12,000 orang tidak akan boleh dikalahkan kerana ia dianggap sedikit.

“Dalam kita menjuarai agenda perpaduan ummah, maka PAS mestilah menunjukkan perpaduan yang kuat dalam parti sesama kita.

“Jangan berkelahi di cawangan, kawasan, negeri, dewan-dewan dan pusat. Kita mesti bersatu padu dalam jemaah ini dan jangan berpecah,” tambahnya.

Menurut beliau, perbezaan pendapat adalah perkara biasa tetapi yang penting menjaga adab dalam perbezaan.

“Mesti taat dan wala’ kepada keputusan parti dan kepimpinan, sama ada suka atau tidak, senang atau susah, selagimana tidak menyalahi syarak,” katanya.

Kini, ujarnya PAS mempunyai lebih sejuta ahli, 197 kawasan dan beribu cawangan.

“Maka, susunlah jentera daripada sumber yang ada dan wujudkan strategi yang terbaik dengan pendekatan demokrasi damai yang menjadi pilihan kita.

“Inilah pendekatan pertama dalam perjuangan Islam, khususnya dalam tanah air sendiri,” ujar beliau.

Belaiu menambah, perkara yang paling penting adalah tawaran ‘Malaysia Sejahtera’ difahami rakyat dan sampai kepada sasaran pengundi bagi membuat keputusan agar memilih PAS dengan penuh kepercayaan dan kemampuan.

“Pendekatan demokrasi memastikan tawaran kita sampai ke lapangan rakyat, bukannya sekadar cakap kosong, khususnya, dengan memastikan mesej sampai kepada pengundi penentu yang masih mencari kebenaran, sehinggakan ada yang hilang keyakinan kepada peranan politik pilihan raya dan kewajipan mengundi,” katanya.

Peranan yang besar itu, kata beliau dipertanggungjawabkan kepada semua sayap, Dewan Ulamak, Dewan Muslimat, Dewan Pemuda, Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) dan semua negeri, kawasan, cawangan, serta semua lajnah dan ahli di mana sahaja mereka berada.

“Seterusnya bergerak melalui gerak kerja penerangan, kebajikan dan kegiatan kemasyarakatan yang berhubung dengan semua lapisan rakyat.

“Kawasan dan cawangan perlu diaktifkan, dan ditambah kawasan dan cawangan baharu, bukan sahaja ahli dan penyokong yang menjadi akar umbi kekuatan jamaah dan jentera yang bertugas,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 3/9/2022

- Advertisement -