PAS yakin rakyat peduli politik, sedia mengundi PRU15

- Advertisement -

ALOR SETAR: PAS yakin rakyat Malaysia adalah rakyat yang peduli politik dan bersedia untuk turun mengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), namun mungkin politik bukanlah keutamaan mereka buat tempoh ini.

Presidennya, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, ini dapat dilihat daripada kemerosotan peratus keluar mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sarawak dan Johor, disebabkan fokus rakyat ketika itu adalah membina semula kehidupan mereka, bukan kerana tidak peduli politik.

Beliau menambah, parti-parti politik seharusnya mengurangkan suhu politiking sesama mereka, sebaliknya memberi tumpuan untuk usaha membangunkan semula negara.

Katanya, kebijaksanaan Kerajaan Persekutuan untuk mengadakan persefahaman politik bersama parti-parti pembangkang demi mewujudkan kestabilan politik adalah satu langkah yang matang, sehingga usaha-usaha untuk membantu rakyat dapat dilaksanakan dengan lancar.

- Advertisement -

Sebenarnya, ujar beliau PAS telah lebih dahulu memperkenalkan pendekatan politik ini sejak tahun 2015 lagi, yang dikenali sebagai Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS).

“Meskipun PAS berada di blok pembangkang, PAS mengambil pendirian untuk bekerjasama dengan kerajaan yang ditunjangi oleh Barisan Nasional ketika itu, demi kemaslahatan negara dan rakyat yang lebih besar,” katanya.

Beliau menyatakan demikian semasa menyampaikan ucapan dasar pada Muktamar Tahunan PAS kali ke-68 di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, hari ini.

“Sebagai sebuah parti Islam, PAS begitu menyedari apa yang kita inginkan daripada berpolitik ialah untuk mencapai keredaan Allah SWT dan membawa kebaikan kepada manusia dan alam sejagat,” katanya.

Menurutnya, ketika PAS memperkenalkan BPMS, terdapat parti-parti pembangkang yang menyindir sinis pendirian PAS dengan pelbagai tohmahan.

“Hari ini, kita boleh menyaksikan sendiri pendekatan BPMS ini sememangnya wajar dibudayakan dalam kalangan parti-parti politik sama ada di pihak kerajaan atau di pihak pembangkang.

“Saya menyeru kepada parti-parti politik untuk menelaah teras-teras politik BPMS yang diperkenalkan oleh PAS, demi kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Sehubungan itu, kata beliau PAS mengalu-alukan penglibatan pengundi-pengundi baru yang terdaftar secara automatik apabila umur telah mencapai 18 tahun.

Menurutnya lagi, PRU15 nanti bakal menyaksikan peranan pengundi-pengundi baru itu sebagai undi penentu kemenangan sesebuah parti politik untuk menerajui kerajaan.

Tambahnya, PAS yakin pengundi-pengundi baru mahukan sebuah amalan berpolitik yang berintegriti, berprinsip, mengutamakan rakyat dan membawa keharmonian.

Beliau berkata, berteraskan kepada BPMS, PAS menawarkan kepada pengundi-pengundi baru suatu amalan berpolitik yang mengutamakan kepentingan rakyat, seterusnya memupuk integrasi nasional ke arah mewujudkan Malaysia yang sejahtera.

“PAS mengajak semua pengundi baru untuk menunaikan tanggungjawab mengundi apabila tiba masanya kelak,” ujar beliau.

Katanya, peranan jumlah undi sangat penting bagi kemenangan pilihan raya mengikut konsep demokrasi.

Maka, ujar beliau gerakan menarik pengundi seramainya menjadi tugas utama.

“Terkini, faktor kritikal kemenangan PAS dalam PRU15 ialah sejauh mana jentera pilihan raya berupaya untuk menguasai sikap pengundi muda yang sebahagian besarnya merupakan pengundi pertama kali (first time voter) yang dikatakan tidak berminat dengan isu-isu politik.

“Undi penentu daripada kalangan anak muda lelaki dan wanita perlu menjadi tumpuan dan sasaran, khususnya dalam kalangan umat Islam sendiri yang jahil agama dan lebih jahil lagi dalam aspek politik yang menjadi penentuan masa depan umat,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 3/9/2022

- Advertisement -