PAS tidak pejam mata terhadap rasuah, salah laku

- Advertisement -

ALOR SETAR: PAS tidak memejamkan mata terhadap kemungkaran seperti rasuah, politik wang, politik mahu jawatan, salah laku dan salah urus, kerana meraikan kemungkaran semata-mata menjaga hati dan kepentingan yang salah sehingga meninggalkan prinsip, adalah konsep ta‘awun (kerjasama) yang salah dan berdosa.

Justeru, kata Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan parti itu menolak sesiapa sahaja yang mengambil pendekatan yang terpesong daripada konsep ta‘awun yang berlandaskan petunjuk al-Quran.

Ini, jelasnya sebagaimana firman Allah dalam surah Al-Maidah ayat 2 yang bermaksud: “Dan hendaklah kalian bertolong-tolongan untuk (mengerjakan) kebajikan dan taqwa, dan janganlah kalian bertolong-tolongan dalam berbuat dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya)”.

Beliau berkata, mandat diserahkan kepada Majlis Syura Ulamak dan PAS Pusat untuk membuat penelitian dan keputusan dalam urusan berkaitan hukum, dasar dan strategi bagi menghadapi pilihan raya, dan segala kemungkinan selepas pilihan raya, demi memastikan Islam terus memimpin, termasuklah urusan penentuan kerusi dan calon dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

- Advertisement -

Tambah beliau, PAS terus berpegang teguh dengan aqidah Islamiah dan memilih pendekatan demokrasi dengan menyertai semua pilihan raya, walaupun tidak dinafikan masih terdapat banyak kelemahan dan salah laku seperti penipuan, politik wang (rasuah) dan sebagainya.

Ini, katanya kerana PAS tetap mendahulukan pendekatan damai, politik berdakwah dan memainkan peranan mengilmukan masyarakat yang tenggelam dalam kejahilan terhadap Islam serta ketinggalan dalam kefahaman politiknya dan kewajipannya menegakkan Islam dalam aspek bernegara.

“Maka kejayaan mengajak seseorang kepada Islam besar fadilatnya. Pahalanya berpanjangan selepas meninggal dunia,” ujarnya semasa menyampaikan ucapan dasar pada Muktamar Tahunan PAS kali ke-68 di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, hari ini.

Beliau berkata, PAS tetap bersabar melalui pendekatan demokrasi demi mencapai kemenangan secara damai.

“Inilah perjuangan para rasul yang menjadi ikutan dan teladan kepada kita semua sehingga hari ini.

“Walaupun terlalu banyak cabaran yang perlu dihadapi, namun kita tetap percaya kepada janji Allah SWT bahawa Islam ialah petunjuk kepada kesejahteraan dunia sehingga akhirat,” ujarnya lagi.

Ahli Parlimen Marang itu menambah, kemenangan Islam sehingga berkuasa memerintah negara tidak diberi jalan mudah oleh semua pihak.

Bahkan, ujarnya kemenangan parti Islam di banyak negara ada yang dibatalkan secara tidak bermoral dan demokratik.

Menurutnya, bagi menunaikan kewajipan memenangkan Islam, PAS wajib mengambil strategi yang berhikmah dan tegas, jangan bertawadhuk tidak pada tempatnya.

Tegas beliau, Islam wajib mencapai kuasa kemenangan (tamkin) sebagaimana yang dijanjikan oleh Allah:

PAS juga, kata beliau bertanggungjawab mengajak perpaduan umat untuk melakukan islah daripada kesilapan kerajaan terdahulu dan berusaha menyatukan parti Melayu Islam yang berselerak dengan pendekatan yang berpecah sebelum ini.

Seterusnya, ujar beliau menyatukan kalangan bukan Islam yang tidak esktrem bagi membentuk sebuah negara masyarkat majmuk yang sejahtera.

Menurutnya lagi, PAS memperkenalkan pendekatan mengikut petunjuk al-Quran berkonsepkan Keluarga Malaysia Masyarakat Majmuk dan menolak sebarang agenda perpaduan kaum yang sempit dan mempunyai wawasan yang terhad.

Pada masa yang sama, katanya PAS sedia berbincang dengan semua pihak yang menunjukkan tanda-tanda keikhlasan untuk mencari jalan penyelesaian supaya kembali kepada Islam.

Hal itu, tambahnya sangatlah penting bagi mengatasi masalah umat yang besar, bukan sekadar agenda politik yang sempit, jangka masa pendek dan tidak beristiqamah bersama Islam.

“Kerjasama dalam perpaduan ini ada sempadannya, hanya dalam perkara kebaikan dan taqwa, seperti perpaduan umat berlandaskan tali Allah (Islam) yang menegakkan adil kepada semua, melakukan kebajikan dan meninggalkan yang salah kembali ke pangkal jalan.

“Jika seseorang itu berdosa dan insaf, maka dibuka pintu taubat dan pengampunan,” katanya lagi.

Namun, jelas beliau PAS tegas tidak mengadakan sebarang kerjasama dalam perkara dosa seperti meneruskan permusuhan dan menyembunyikan dosa tanpa insaf dan taubat. – HARAKAHDAILY 3/9/2022

- Advertisement -